Terengganu peruntuk RM11.2 juta hadapi musim tengkujuh

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan RM11.2 juta untuk persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada 5 November 2024.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat memaklumkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Langkah itu jelasnya, meliputi peruntukan kecemasan, pengurusan risiko banjir, penyelenggaraan kolam takungan banjir serta peningkatan infrastruktur mekanikal dan elektrikal bagi kawalan banjir.

“Kerajaan negeri juga telah melaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri bilangan 2 tahun 2023 pada 1 Oktober 2023 dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah bagi seluruh daerah di negeri Terengganu.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk menyelaraskan dan memperkasa lagi koordinasi semua agensi yang terlibat bagi menghadapi bencana banjir kali ini berpandukan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) nombor satu yang telah berkuasa daripada Bermula 1 Ogos 24,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi jawab lisan dari ADUN Kuala Besut, Azbi Salleh yang meminta penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai langkah-langkah persiapan diambil bagi menghadapi musim tengkujuh.

Hanifiah berkata, di peringkat daerah, pelbagai latihan program dan latihan amal telah dijalankan oleh agensi penyelamat dan juga agensi terlibat.

“Program simulasi pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat juga bertujuan untuk mempersiapkan orang awam dan agensi dalam menguruskan pusat pemindahan sementara,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 132 stesen hidrologi dipantau bagi mendapatkan data hujan dan paras air, manakala 17 siren amaran banjir dan lapan kamera CCTV dipasang untuk pemantauan paras air sungai.

“Melaksanakan penyelenggaraan dan penaiktarafan ke atas semua 10 sistem saliran termasuk kolam takungan, sistem perparitan dan sistem amaran banjir dan sebagainya bagi memastikan keupayaan takungan dan kefungsian struktur saliran lebih optimum semasa berlaku waktu puncak.

“Tahap penyelenggaraan dan penaiktarafan yang dilaksanakan juga mengambil kira hasil kajian dan data banjir terkini bagi melihat keberkesanan mekanisme terbaik menyelesaikan masalah banjir yang kompleks yang berbeza di setiap kawasan,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 36 aset mekanikal dan elektrikal termasuk 13 pam kekal dan 21 pam bergerak telah disiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, JPS Terengganu juga telah mengenal pasti 451 lokasi hotspot banjir dan 41 lokasi hotspot air pasang.

“Orang awam juga dinasihatkan supaya sentiasa patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi Pengurusan Bencana banjir dari masa ke semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024

- Advertisement -