Hutan Sg Lembing: MB diminta beri penjelasan

- Advertisement -

KUANTAN: Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail diminta memberikan penjelasan berkenaan isu penjarahan hutan Sungai Lembing yang masih hangat diperkatakan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, sehingga hari ini, pihaknya melihat Menteri Besar masih lagi membisu berkenaan isu tersebut.

Menurutnya, sikap Wan Rosdy seperti tiada langsung belas ihsan kepada rakyat yang menanti jawapan daripada seorang pemimpin nombor satu negeri itu.

“Kita di Negeri Pahang sudah diminta untuk membuat persediaan rapi untuk menghadapi Monsoon Timur Laut yang akan tiba. Adakah MB Pahang mahu terus membisu seribu bahasa daripada memberi penjelasan tentang apa yang sedang berlaku?” katanya.

Jelas beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kawasan tersebut bukan di bawah seliaan Pejabat Hutan Pahang, tetapi merupakan tanah di bawah seliaan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) yang berstatus pertanian.

“Apakah yang sebenarnya sedang berlaku? Seperti tiada rasa empati terhadap nasib warga sungai Lembing yang setiap kali musim tengkujuh akan menghadapi banjir lumpur.

“Adakah dengan apa yang sedang berlaku ini akan menambah burukkan lagi kesan musibah banjir terhadap warga sungai Lembing,” soalnya.

Justeru, pihaknya menyokong dan mendukung usaha ADUN Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri yang mendesak penjelasan daripada Menteri Besar berkenaan isu tersebut.

Menurut Ahmad Azlan,  apa yang sedang berlaku ketika ini seperti sedang memperjudikan nasib warga masyarakat Sungai Lembing.

“Kami juga turut mendesak Menteri Besar untuk tampil memberi penjelasan tentang apa yang sedang berlaku dan apa tindakan daripada pihak beliau mengenai kesan penjarahan ini terhadap warga Sungai Lembing.

“Jangan ingat rakyat boleh digula-gulakan dan diperbodohkan dengan hanya kamu membisu daripada memberi penjelasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024

- Advertisement -