
KUALA TERENGGANU: Keberkesanan pelbagai strategi dilaksanakan Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri telah membawa kepada peningkatan hasil janaan negeri yang signifikan pada tahun 2023.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasil janaan sebenar negeri pada tahun 2023 berjumlah RM283.15 juta, meningkat sebanyak 41.1 peratus berbanding anggaran awal RM200.66 juta.
“Sehingga September tahun ini pula, sejumlah RM221.39 juta yang berjaya dikutip juga adalah lebih tinggi 14.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM194.13 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025, di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Samsuri berkata, selari dengan itu, pelbagai mekanisme turut dipertimbangkan untuk memastikan kestabilan jangka panjang ini dapat dicapai tanpa membebankan sesiapa terutamanya rakyat kebanyakan dan golongan peniaga.
Sementara itu, kata beliau, selain akan menggalakkan penggunaan sistem e-Tanah yang berjaya mempercepatkan proses urusan tanah, Pejabat Tanah Galian (PTG) juga akan berusaha menyelesaikan tunggakan cukai tanah.
Antaranya maklum beliau, melibatkan notis amaran dan notis rampasan kepada pemilik tanah yang gagal melunaskan bayaran cukai.
Jelasnya, hasil daripada sektor perlombongan pula akan ditambah dengan meminda kadar royalti mineral yang telah diguna pakai sejak lebih 20 tahun lalu.
Menurutnya, Pejabat Tanah Galian (PTG) juga telah meluluskan dua kawasan untuk kajian awal perlombongan unsur nadir bumi dan bekerjasama dengan MBI bagi merintis pembangunan industri mineral di Terengganu.
Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri dijangka akan memperoleh hasil daripada pelesenan pengabstrakan air dan aktiviti penggubahan sumber melalui penguatkuasaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 oleh Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT). – HARAKAHDAILY 19/11/2024











