
BESUT: Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) melibatkan pembinaan 50 unit rumah kini telah mencapai lebih 90 peratus siap di Beting Lintang, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyerahan kunci kepada bakal penghuni dijangka dapat dilaksanakan pada Mac 2025.
“Rumah yang berharga RM154,000 akan diberi kepada nelayan secara sewa beli dengan harga RM54,000 sahaja.
“Bila saya umum harga ini semasa Majlis Pecah Tanah Projek PSN ini kira-kira dua tahun lepas, ramai yang tak percaya dan anggap ia hanya ucapan politik.
“Percaya atau tidak, tapi inilah kenyataannya. Tak nak percaya tak apalah, kita beri kepada yang percaya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Menurut beliau, senarai akhir bakal panghuni sedang dalam penelitian pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan akan ditemuduga dalam masa terdekat.
Katanya lagi, selain di Beting Lintang, dua lagi projek serupa sedang dilaksanakan di Pulau Skepeng, Kemaman dan Seberang Penarik, Setiu.
“Keseluruhan tiga Projek menelan kos RM23 juta dibiayai secara bersama oleh LKIM dan kerajaan negeri. Tanah dan kerja-kerja tapak juga diberikan percuma oleh Kerajaan Negeri.
“Saya diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas PSN Terengganu bersama pasukan hanya melaksanakan tugas sebaiknya dengan matlamat agar taraf kehidupan nelayan dapat ditingkatkan,” ujarnya.
Azman yang juga ADUN Jabi berkata, projek itu bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan nelayan, khususnya mereka dalam kategori B40 yang masih belum memiliki rumah atau tinggal di rumah terlalu uzur. – HARAKAHDAILY 14/11/2024











