
MARANG: Pemuda PAS Malaysia mengucapkan takziah kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atas pemergian ibu mentuanya, Dayang Abdullah, (foto atas) yang telah kembali ke rahmatullah.
Pemuda PAS Malaysia merakamkan rasa simpati kepada seluruh ahli keluarga, termasuk cucu Almarhumah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang turut merasai kepergian insan tersayang itu.
“Kami mendoakan agar roh Almarhumah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat rahmat serta keampunan dari Allah SWT,” ujar kenyataan tersebut.
Almarhumah Dayang Abdullah dilaporkan meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat sakit tua di rumahnya di Kampung Belubur, Rusila, pada jam 12.20 pagi tadi.
Jenazah kemudiannya disolatkan pada jam 10 pagi di Masjid Rusila, yang diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi. Upacara pengebumian diadakan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rusila sejurus selepas solat jenazah.
Tuan Guru meluahkan rasa sebak dan sedih atas pemergian ibu mentuanya, yang memberikan kesan yang mendalam buat seluruh ahli keluarga yang sangat rapat dengannya.
“Meski tidak lagi bersama, doa terhadapmu akan terus mengalir, mengiringi perjalanan menuju tanah abadi.
“Semoga mendapat rahmat daripada Allah SWT, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya menerusi laman Facebook beliau.
Khalil yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, turut berkongsi kesedihan atas kehilangan nenda yang disifatkannya sebagai sumber kekuatan dan kasih sayang yang tidak ternilai dalam kehidupan mereka.
“Dengan hati yang pilu, saya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada insan yang sangat saya sayangi, iaitu tok saya yang telah pergi menghadap Ilahi.
“Kehilangannya amat dirasai dan meninggalkan kekosongan yang tak terganti dalam hidup kami sekeluarga.
“Tok, kenangan bersamamu akan kami kenang dan simpan dalam hati selamanya,” katanya menerusi laman sosial beliau. – HARAKAHDAILY 13/11/2024











