
KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membangunkan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) di seluruh Malaysia.
Menurut PETRA, sistem model ramalan banjir itu menggunakan pendekatan hidrodinamik dan simulasi banjir dihasilkan dengan gabungan pelbagai input termasuklah data hidrologi dari stesen telemetri PRAB dan data ramalan hujan dari MET Malaysia yang menggunakan teknologi satelit dan radar.
Katanya, simulasi banjir itu berupaya memberi ramalan aras air seawal tujuh hari dan kawasan yang diramalkan terjejas akibat limpahan sungai akan dapat dikenal pasti.
“Sistem ini dibangunkan melalui tiga fasa dan PRAB di Terengganu, Kelantan dan Pahang dibangunkan dalam fasa pertama dan kedua.
“Fasa pertama, sistem model banjir telah siap dibangunkan dan mula beroperasi sejak tahun 2017 di lembangan Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary [PN-Pengkalan Chepa] di Dewan Rakyat, semalam.
Ahmad Marzuk dalam soalannya meminta Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air menyatakan status pembangunan infrastruktur dan sistem PRAB bagi negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang serta jelaskan bagaimana mekanisme sistem pemodelan banjir berfungsi.
Tambah PETRA lagi, fasa kedua pula telah siap dibangunkan dan mula beroperasi pada tahun 2021 melibatkan Lembangan Sungai Golok di Negeri Kelantan, Lembangan Sungai Besut, Lembangan Sungai Kemaman, Lembangan Sungai Dungun, Lembangan Sungai Setiu dan Lembangan Sungai Paka di Negeri Terengganu.
Seterusnya, ujarnya di Pahang, tiga lembangan sungai terlibat iaitu Sungai Kuantan, Sungai Rompin dan Sungai Endau, yang juga meliputi Negeri Johor.
Menurutnya lagi, manakala Fasa 3 untuk Sabah dan Sarawak melibatkan 33 lembangan sedang dalam proses perolehan. Pengeluaran SST dijangka pada November 2024.
“JPS akan menyediakan buletin amaran banjir dan membuat hebahan kepada JPS Negeri dan NADMA untuk tujuan kesiapsiagaan agensi penyelamat.
“Sementara itu, orang awam boleh mendapatkan maklumat amaran banjir di Portal Public Infobanjir atau melalui hebahan di Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024











