
KUALA LUMPUR: Kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk mengguna pakai sistem diat bagi menggantikan mana-mana hukuman sedia ada yang telah diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].
Kementerian Pengangkutan (MOT) berpandangan bahawa bentuk hukuman dalam perundangan semasa adalah memadai untuk memberi keadilan, mencegah jenayah, memberi peluang pemulihan kepada pesalah dan menghormati hak asasi manusia.
Menurut MOT, antara tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap individu yang memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian adalah seperti di dalam Seksyen 41, Akta 333 yang mana telah dipinda pada tahun 2020 yang menetapkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 5 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.
Tambahnya, bagi sabitan kali kedua atau kali kemudian, penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM100,000.
“MOT dari semasa ke semasa sentiasa melaksanakan kajian secara berterusan terhadap undang-undang yang berkaitan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 bagi memastikan ianya sentiasa relevan dan memastikan aspek keselamatan jalan raya kepada semua pengguna jalan raya secara umumnya,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Mumtaz Md Nawi [PN-Tumpat] di Dewan Rakyat, semalam.
Mumtaz menerusi soalannya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk mengkaji sistem Diat sebagai solusi alternatif kepada hukuman kemalangan maut dan opsyen yang lebih mesra kepada keluarga si mati dan sekali gus memberi masa depan kepada pelaku dan keluarganya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024











