
KUALA LUMPUR: Pengarah Khidmat Malaysia Selangor (KMS), Sabirin Marsono menzahirkan ucapan takziah susulan Pengarah Khidmat Malaysia Melaka, Muhammad Puhat Bedol yang telah kembali ke rahmatullah lewat jam 1 petang ini.
Dalam satu kenyataan, Sabirin berkata, KMS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum dan mengharapkan agar keluarga almarhum reda serta tabah menghadapi musibah kehilangan ini.
“KMS menyaksikan bahawa almarhum adalah insan yang sangat aktif, komited serta cakna terhadap program-program kebajikan dan kemasyarakatan.
“Almarhum juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Negeri Melaka dan Yang Dipertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya,” katanya.
Tambah Sabirin lagi, almarhum juga pernah aktif di Selangor sebagai mantan Ketua Cawangan PAS Taman Perwira, Kuala Langat sebelum berhijrah ke Melaka.
“Sesungguhnya bukan sahaja PAS Negeri Melaka dan Khidmat Malaysia Melaka sahaja yang berasa kehilangan almarhum, malah KMS serta keluarga besar Khidmat Malaysia seluruh negara juga sebak meratapi kehilangan permata yang sangat komited dengan aktiviti kesukarelawanan ini.
“KMS mendoakan semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Almarhum, melimpahkan rahmat kebaikan ke atas Almarhum, menerima setiap amalan kebaikan dan kebajikan almarhum, mengurniakan ganjaran yang sebanyak-banyaknya ke atas setiap kebaikan dan kebaikan yang telah dilakukan sepanjang hayat almarhum serta menempatkan almarhum di kalangan orang-orang yang beriman, beramal soleh dan yang hampir dengan-Nya. Insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2024











