Pilih Abang Abidin untuk perjuang isu Sungai Bakap

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kerajaan Pulau Pinang gagal menyelesaikan isu-isu khususnya di dalam DUN Sungai Bakap di mana perkara itu menuntut para pengundi untuk memastikan kemenangan PERIKATAN NASIONAL kekal di situ.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, amat penting untuk pengundi menghantar wakil rakyat daripada PN ke DUN Pulau Pinang mewakili Seberang Perai Selatan dan memastikan khidmat bakti ADUN sebelum ini.

Menurut beliau, Allahyarham Nor Zamri Latiff ternyata seorang wakil rakyat yang berdedikasi dalam memberikan khidmat baktinya kepada masyarakat terutama pengundi diwakili beliau dalam DUN Sungai Bakap.

Perkara tersebut jelasnya, terbukti dengan kehadiran kawan dan lawan semasa pengebumian Almarhum yang juga menunjukkan betapa beliau dihargai oleh semua pihak kerana mengenang jasa baiknya.

Puji Ustaz Fauzi, selama lebih 10 bulan, Almarhum Abang Zam telah bergelumang dengan masyarakat setempat dengan meletakkan kepentingan penduduk sebagai keutamaan beliau.

Kini katanya, dalam meneruskan legasi Almarhum, PN Pulau Pinang telah memilih calon anak tempatan, Abidin Ismail atau Abang Abidin yang diyakini mampu memberi khidmat setanding Abang Zam.

Menurutnya, walaupun ada pihak meremehkan calon PN tidak sepadan calon lawan, namun tegas beliau, calon dipilih adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan membawa isu-isu mereka supaya diketengahkan.

“Salah satu isu utama yang akan diutamakan adalah masalah air di Sungai Bakap, terutama di Taman Widuri, di mana penduduk terpaksa menunggu sehingga tengah malam untuk mendapatkan bekalan air.

“ADUN kita sebelum ini telah membawa memorandum kepada kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini. Kerajaan gagal menangani isu air yang berlarutan sejak enam tahun lalu,” katanya lagi pada Ceramah Perdana PN di UDM Puteri Gunong, di sini malam tadi.

Beliau selaku juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang memklumkan, termasuklah isu diperjuangkan Almarhum Abang Zam adalah masalah jalan raya yang tidak dapat diselesaikan sejak era Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri.

PN Pulau Pinang katanya, memberi jaminan, Abang Abidin jika dipilih, akan memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan membawa perubahan yang diperlukan di Sungai Bakap. – HARAKAHDAILY 29/6/2024

- Advertisement -