Wakil Peguam Negara dirujuk ketika DUN gubal Enakmen

Sepatutnya Enakmen di negeri tidak bercanggah peruntukan Persekutuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri mempunyai satu rujukan sah dalam kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan sesuatu perundangan iaitu Penasihat Undang-undang Negeri (LA) yang juga wakil Jabatan Peguam Negara.

- Advertisement -

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, LA di sesebuah negeri sudah tentulah memberi nasihat kepada kerajaan-kerajaan negeri sebelum kerajaan itu membawa sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) ke DUN.

“Supaya RUU itu tidak bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Jadi sekarang ini seolah-olahnya yang bersalah kerajaan negeri. Sedangkan kerajaan negeri telah dinasihatkan secara rasmi,” ujar beliau.

Beliau menyuarakan demikian merujuk kepada isu keputusan kes petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid oleh Mahkamah Persekutuan mengenai Enakmen Jenayah Syariah yang diisytihar batal dan tidak sah pada 9 Februari lalu.

Menurut beliau, keputusan tersebut akan memberi kesan serupa kepada enakmen sama di 13 negeri lain, termasuk satu daripadanya adalah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 yang diluluskan Parlimen.

Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ini memberitahu, ketika itu Tambun yakni Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Timbalan Perdana Menteri yang meluluskan akta tersebut.

“Jadi apa tindakan kerajaan untuk membetulkan keadaan ini?” ujarnya meminta penjelasan terhadap kepincangan tersebut ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Beliau juga meminta jawapan sama ada pihak kerajaan bersetuju dengan penyataannya bahawa segala kesalahan jenayah syariah di dalam enakmen negeri-negeri seluruh Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan dibuat berdasarkan sumber hukum Quran, hadis, ijmak dan qias. 

“Adakah Yang Berhormat bersetuju bahawa inilah asas kepada pembentukan jenayah syariah di dalam enakmen negeri, bukan sebagaimana undang-undang jenayah mahkamah sivil yang berdasarkan common law Inggeris dan juga undang-undang jenayah daripada India?” soalnya.

Terdahulu Takiyuddin dalam soalannya kepada Perdana Menteri semasa sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri meminta menyatakan sejauh manakah usaha yang telah diambil oleh kerajaan berkaitan perundangan Syariah.

“Termasuk melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dalam melindungi Undang-undang Enakmen Syariah Negeri-Negeri daripada cabaran pihak-pihak tertentu tentang keabsahannya terutama melalui serangan terancang litigasi strategik yang sangat membimbangkan umat Islam di negara ini?” soalnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menjawab soalan-soalan tersebut mengganti ketidakhadiran Menteri, Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -