PAS Marang santuni masyarakat Tionghua

- Advertisement -

MARANG: Kunjungan Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Marang yang dipengerusikan oleh Ustaz Ariffin Deraman disambut mesra oleh masyarakat Tionghua di sini.

- Advertisement -

Ariffin berkata, sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina beliau bersama Muslimat PAS Kawasan Marang turun ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang untuk menziarahi rumah-rumah kaum Tionghua.

“Bukan nak dekat pilihan raya sahaja kita dekati rakyat, tapi memang sudah lumrah antara pemimpin kita dan rakyat sentiasa dekat.

“Setiap kunjungan kami disambut mesra dan dalam masa yang sama kami juga menyampaikan sumbangan berbentuk barangan asas dan semestinya buah limau mandarin yang sinonim dengan Tahun Baru Cina.

“Alhamdulillah, kebanyakan yang kita ziarahi ini merupakan dalam kalangan yang kurang kemampuan dari pelbagai permasalahan. Moga kita sentiasa dalam jagaan-Nya,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, semalam.

Beliau berkata, program ziarah miskin, orang kurang upaya (OKU), sakit, warga emas, ‘armalah’ dan anak yatim (MOSWAY) ini adalah antara sebahagian program di bawah Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Marang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ‘team’ Muslimat PAS Kawasan Marang yang memastikan program berjalan lancar. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -