
KUALA LUMPUR: Pandangan bahawa rumah pelacuran diperlukan kerana terdapat ramai pekerja asing lelaki di negara ini adalah secara jelas bercanggah dengan prinsip syariat Allah SWT yang mengharamkan semua pintu ke arah perzinaan.
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad al-Urduni berkata, perbuatan yang menghampiri zina adalah diharamkan oleh Allah SWT untuk menjaga keturunan manusia, apatah lagi perbuatan zina itu sendiri.
“Ini termasuklah menyediakan rumah pelacuran dan seumpamanya. Ia juga bertentangan dengan adab dan budaya masyarakat timur khasnya masyarakat Melayu Islam di Malaysia yang penuh dengan kesopanan dan tata susila.
“Usahlah memikirkan penyelesaian dengan hanya mengikut akal yang singkat. Manusia hanya disarankan memberi pandangan di dalam perkara yang difahaminya sahaja. Tiada keperluan berseloroh di dalam hukum-hakam agama,” ujar beliau.
Katanya, PAS Johor menasihatkan seluruh umat Islam agar lebih berhati-hati di dalam memberikan pandangan terutamanya melibatkan hukum agama dan syariat Allah SWT agar ianya tidak menimbulkan polemik dan kekeliruan terhadap masyarakat.
Naib Ketua Pemuda PAS Johor, Mohd Ridhwan Salamun pula menegaskan, sudah sampai masanya untuk pihak berwajib bertindak lebih agresif dan tegas terhadap individu-individu yang menawarkan perkhidmatan pelacuran dan sebagainya.
Kerana menurut beliau, terdapat sebahagian kegiatan tidak bermoral tersebut yang dipercayai berselindung di bawah operasi pusat hiburan keluarga, rumah urut dan sebagainya sebagaimana didedahkan media.
“Isu yang sepatutnya dibahaskan adalah berkaitan cara membendung kebanjiran pendatang asing di Malaysia, bukan memberi mereka ‘keseronokan’ untuk menetap lama di sini,” ujarnya merujuk isu yang menjadi polemik itu.
Beliau turut mengupas mengenai larangan menghampiri dan melakukan perbuatan zina dalam ajaran Islam di mana menurut Maqasid Syariah ianya bertujuan untuk menjaga keturunan.
“Konsep memelihara keturunan melibatkan perlindungan dan pemeliharaan keturunan. Ia adalah penting untuk membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan berkesan. Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat.
“Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi agama dan tabi’ie manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya, maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau,” ujarnya merujuk penyataan di portal JAKIM.
Akhirnya kata Mohd Ridhwan, akan runtuh jalur keturunan yang suci serta merosakkan maruah agama, bangsa dan negara. – HARAKAHDAILY 10/1/2024











