
KUALA LUMPUR: Tindakan membakar dan mengkhianati harta individu lain apalagi melibatkan risiko kehilangan nyawa adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima, demikian tegas Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian sebagai mengulas berita kebakaran rumah Ahli Parlimen Berus, Ngeh Koo Ham yang dikatakan dilakukan oleh seorang individu tidak dikenali sekitar jam 2.50 pagi tadi.
Beliau merakamkan takziah kepada Ngeh atas musibah dialami itu dan tegas tidak dapat menerima perbuatan sedemikian berbahaya walaupun berlaku perbezaan di dalam politik dengan pemimpin DAP tersebut.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan menurut undang-undang yang sedia ada. Semua pihak dinasihatkan tidak membuat apa-apa spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa,” ujar beliau.
Media-media terutama berbahasa Cina iaitu Sin Chew Daily memberi liputan dan kemaskini bergambar terhadap kejadian tersebut yang memaparkan kerosakan pada tiga kenderaan dan bahagian rumah itu.
Bagaimanapun laporan juga menyatakan bahawa tiada kemalangan jiwa dalam kejadian tersebut di mana pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak. – HARAKAHDAILY 10/1/2024











