
KITA sebenarnya masih menunggu teguran dibuat wakil PAN khasnya Sang Presiden kepada kumpulan yang mendakwa bahawa Kerajaan Perpaduan Madani meminggirkan warga berketurunan India. PAN yang pada sesi Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional PAN 2023 berikrar menolak politik identiti. Gagal berbuat demikian parti yang didukung kuat DAP itu boleh dilihat sebagai sekadar cakap kosong.
Atau mungkinkah PAN hanya mahu melarang dan membanteras warga majoriti daripada berbuat demikian dan yang lain bebas membakar semangat perkauman?
Umum mengetahui negara kita mempunyai komposisi etnik yang pelbagai dan juga mempunyai kepercayaan yang tidak homogenus. Hal ini boleh dilihat dengan puluhan parti politik yang terdapat di negara ini yang mewakili etnik dan kumpulan tertentu. Tentunya tidak salah juga jika kita mengandaikan bahawa pasca kejatuhan kerajaan pimpinan Barisan Nasional, Malaysia dilihat masih tercari-cari apakah formula terbaik untuk menyatukan seluruh warga dalam sebuah kerajaan yang kukuh. Sehinggakan beberapa tahun ini kita menyaksikan pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri beberapa kali.
Hakikatnya semua orang di dunia akan mengidentifikasikan dirinya menurut kepada persekitarannya. Beberapa aspek seperti siapa ibu bapanya, sekolah, kawasan atau lokaliti seseorang itu membesar dan kepercayaan yang dianutinya menyumbang kepada identiti individu tersebut. Hakikatnya juga tidak semua orang mampu atau mahu membuang akar budayanya.
Kerana itu juga kita sedikit ragu atas gesaan yang dibuat PAN mahu menidakkan politik identiti di Malaysia. Sebagai pemula, kita tidak sehomogenus Jepun.
Timbul persoalan benarkah dengan menoktahkan formula politik identiti yang didakwa tidak membina itu mampu membawa keadilan sosial untuk semua? Benarkah contohnya, Malaysia akan lebih adil dengan terlantiknya seorang Perdana Menteri bukan Melayu seperti yang diimpikan DAP?
Jika sungguh apa yang dikata, tentulah PAN perlu ke depan menegur perbuatan kumpulan yang mendakwa bahawa tanpa Menteri daripada kalangan orang India yang mampu berbahasa Tamil, sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap kumpulan tersebut. Malah kerajaan juga dituduh cuba ‘downgrade’ Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) setelah memindahkannya ke Kementerian Perpaduan Negara. Mitra sebelum ini berada bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Tidakkah tuduhan ini agak keterlaluan dan perlu ditegur, apatah lagi setelah Perdana Menteri sendiri memberi jaminan?
Bagaimana pula dengan kenyataan sesetengah pihak memperjuangkan hak untuk berseluar pendek di premis-premis kerajaan yang mempunyai etika berpakaian sopan berpandukan Rukun Negara, yang dipatuhi semua orang? Adakah ini masih lagi dikira hak minoriti atau politik identiti yang bakal membawa pecah-belah di kalangan masyarakat?
Atau pemakaian songkok di beberapa Dewan Undangan Negeri yang pernah diboikot ahli politik DAP berbelas tahun lampau. Tentunya pemakaian ‘turban’ dua tokoh DAP semasa dilantik Menteri di Istana Negara beberapa tahun lepas juga tidak boleh diandaikan sebagai kesinambungan kepada pendirian itu. Namun bagaimanakah boleh kita mengenal-pasti politik identiti tanpa serkap jarang?
Bagaimana pula jika sekumpulan ibu bapa yang melaporkan tentang kemaslahatan sekolah seperti yang berlaku beberapa hari lepas berkenaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang Lima, Sri Andalas? Adakah ini juga bentuk tribalisme yang perlu dielak?
Atau adakah kumpulan yang cuba mencabar keabsahan sekolah vernakular di Mahkamah Persekutuan contohnya, boleh dilihat sebagai pendukung politik ketuanan yang cuba menghalang hak untuk sesetengah rakyat belajar dalam ‘bahasa ibunda’ mereka?
Pada 2008 mendiang Khoo Kay Khim menulis bahawa bahasa Tamil bukankah ‘mother tongues’ de facto semua etnik berketurunan India. Sentimen ini juga dikongsi etnik Cina yang berjuang mempertahankan dialek Kantonis dan Hokkien yang ‘mati’ dek ketuanan bahasa Mandarin, bahasa kebangsaan Republik Rakyat China.
Tentu juga kita akan pelik jika para pendukung penyatuan yang mahu menidakkan politik identiti berkeras tidak mahu anak-anak kita belajar, berkongsi pengalaman dan kemudahan yang sama dalam satu aliran sekolah seperti Sekolah Wawasan yang pernah digagaskan Tun Mahathir ketika memimpin Malaysia dulu?
Bagaimanakah pula dengan perbuatan mengimport bahan bacaan dan video bukan-Islam daripada Indonesia yang menggunakan kalimah ‘Allah’ atau kempen majlis ‘Johor for Jesus’ yang pernah menggemparkan negara? Bolehkah ini dilihat sebagai tribalisme toksik atau masih lagi dalam kerangka hak-hak minoriti?
Jika ya, bagaimanakah pula kita menguruskan hak majoriti?
Hakikatnya etnik Bumiputera adalah kumpulan yang paling corot dalam pemilikan kekayaan dan pendapatan berbanding dengan etnik Cina dan India. Menurut buku ‘The Colour of Inequality’, pemilikan aset di kalangan Bumiputera juga paling rendah dan aset kewangan yang dimiliki etnik Cina adalah bersamaan dengan 2,135 kali berbanding Bumiputera. Ini bermakna dengan RM1 median aset kewangan seorang Bumiputera, seorang Cina mempunyai aset kewangan bernilai RM2,135 dan seorang India RM1,296.
Menarik untuk kita sedar bahawa seorang Cina yang paling ‘miskin’ di Malaysia juga dikatakan tidak berbeza keadaannya dengan warga Bumiputera kebanyakkan!
Buku yang sama juga mendedahkan bahawa seorang Cina dan seorang India secara mediannya mampu meningkatkan kekayaan masing-masing sehingga 45 peratus dan 39 peratus berbanding dengan seorang Bumiputera. Ini berlaku walaupun mereka bertiga berkongsi profil jantina, latar pendidikan, jawatan, industri dan lokasi kerja yang sama. Perihal ‘premium etnik’ orang Cina juga wujud dalam kajian yang dibuat oleh Branko Milanovic dan menurutnya “being Chinese, with all other attributes the same, resulted in almost 23 percent wage premium compared to being a Malay”.
Buku tulisan Muhammed Abdull Khalid itu juga merekodkan sejak polisi pendidikan menukar sistem kuota kepada sistem meritokrasi untuk kemasukan ke institusi pendidikan tinggi tempatan, kumpulan bukan Bumiputera mempunyai syer yang lebih besar dan juga peluang kemasukan yang lebih tinggi berbanding dengan kumpulan Bumiputera.
Malah pada 2005 saja, 120,000 pelajar Bumiputera gagal mendapat tempat di institusi pendidikan tinggi tempatan walaupun memenuhi kriteria kemasukan. Adakah mereka ini secara tidak langsung telah didiskriminasi atau sekadar mangsa ‘collateral damage’ kerana sumber kekayaan atau kemudahan sedia ada dalam negara sememangnya terhad?
Munculnya ‘vigilante’ pempengaruh seperti ‘Ustaz Sophian’ dan ‘Datuk Kalai’ contohnya, walau apapun pendirian kita terhadap aktivisme mereka, sebenarnya bertitik-tolak daripada keresahan rakyat kebanyakkan yang terkesan dengan perkongsian sumber ekonomi yang terhad apatah lagi dihimpit kenaikan kos sara hidup.
Jika itulah keadaannya kenapakah agaknya kerajaan masih lagi mahu memberi fokus untuk membantu kumpulan kelas pertengahan sedangkan kumpulan kelas bawahan juga masih terlalu ramai belum mampu dibantu? Kenapakah pula kumpulan B40 akan terus dibebankan dengan cukai baharu seperti cukai 10 peratus barangan bernilai rendah, contohnya?
Jadi apabila terdapat parti atau tokoh politik memperjuangkan isu yang berkaitan dengan ekonomi dan masa depan kumpulan tersebut adakah ianya bakal dilihat sebagai satu fanatisme kaum?
Adakah dengan memperjuangkan isu tersebut juga ianya bakal dilabel sebagai pendekatan jahat menggalakkan ‘siege mentality’ atau ketuanan kaum majoriti?
Oleh itu kenyataan Ong Kian Ming hari ini berkenaan kemandirian ekonomi Bumiputera amatlah dialu-alukan. Sudah sekian lama dasar affirmatif Bumiputera dihujat dan dibangkang segelintir parti dan tokoh politik secara tidak konstruktif. Semua harus sedar bahawa masa depan negara ini tidak dapat lari daripada kejayaan atau kegagalan penduduk majoriti itu.
Hakikatnya juga etnik Bumiputera mempunyai sejarah pengecualian ekonomi yang panjang. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan terutamanya untuk memperbetulkan legasi lebih empat ratus tahun penjajahan dan penjarahan kuasa asing meminggirkan kumpulan peribumi. Dan semua harus faham realiti itu.
Faham realiti demografi juga tentunya yang mendorong mendiang Lee Kuan Yew, seperti yang didedahkan Prof. Lily Zubaidah daripada Georgetown University, mendakwa bahawa negara itu tidak akan berjaya seperti sekarang dengan pecahan demografik 75 peratus India, 15 peratus Melayu dan selebihnya Cina. Kesinambungan realiti itu juga, tentunya yang diteruskan parti pemerintah PAP (People Action Party) waima dengan ‘mengimport’ warga Republik Rakyat China sekalipun sehinggakan nisbah ketiga-tiga etnik, Cina (berlegar sekitar 76.1 peratus hingga 75.9 peratus), India (15.1 peratus) dan Melayu (7.4 peratus) kekal sama sejak 2011 sehingga 2021 seperti dapatan yang dibuat Dr. Laavanya Khatiravelu semasa Simposium MASSA (Malaysia And Singapore Society of Australia) pada lewat 2021.
Kita faham ‘status quo’ Singapura belum bersedia untuk seorang Perdana Menteri bukan-Melayu yang cuba dipertahankan PAP. Ianya dilakukan dengan sangat teliti dan affirmatif sehinggakan walaupun setelah sejuta orang telah bermigrasi ke republik tersebut, pecahan etnik kekal ditakuk yang sama.
Lain padang, lain belalang. Amerika Syarikat juga mempunyai dasar affirmatif untuk membantu golongan yang terpinggir. Begitu juga dengan Republik India dan lain-lain negara di dunia. Semua negara menggembleng sumber-sumber kemakmuran sedia ada untuk mengurus realiti negara masing-masing. Bezanya cuma, kumpulan yang paling terpinggir di Malaysia adalah penduduk majoriti negara.
Jika masa depan Singapura bergantung kepada etnik majoriti republik tersebut dan ianya dipelihara dengan penuh istiqomah, kenapakah pula ada sesetengah daripada parti politik dan pemimpin politik di negara kita seolah-olah mahu berseteru dengan etnik majoriti di Malaysia?
Dari sisi lain, timbul persoalan, adakah dengan menolak politik identiti itu bermakna kita mahu mempersiapkan negara kita kelak menjadi sangat terbuka sehinggakan menerima seorang Perdana Menteri transgender ateis?
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ – HARAKAHDAILY 28/12/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











