
REACH berpendirian walaupun mahkamah telah membuat keputusan namun penduduk Kg Setia Jaya, Kuala Lumpur tidak boleh dihalau dengan sewenang-wenangnya.
REACH difahamkan penduduk telah datang ke Kuala Lumpur selepas peristiwa 13 Mei 1969 di atas gesaan pimpinan negara agar komposisi kaum di bandaraya adalah lebih seimbang.
Malang sekali tanah yang diduduki tidak diberimilik kepada penduduk yang telah meneroka tanah tersebut tetapi kepada pihak Kolej Tuanku Abdul Rahman (KTAR).
Walaupun keputusan mahkamah perlu dihormati namun masih ada masa untuk membetulkan keadaan memandangkan Barisan Nasional yang merupakan kerajaan ketika pemberimilikan berlaku adalah sebahagian dari kerajaan hari ini.
Penduduk wajar diberi pampasan di atas usaha mereka membangunkan tanah tersebut.
Pampasan serta penyelesaian mestilah yang bermaruah bukan sekadar melepaskan batuk di tangga seperti memindahkan mereka ke PPR di mana mereka perlu membayar sewa bulanan walaupun sewanya rendah.
Tawaran membeli rumah kos rendah RM42,000 dengan potongan RM7,000 seperti peneroka-peneroka bandar sebelum ini juga tidak sepadan dengan usaha mereka meninggalkan kampung halaman untuk datang ke kota.
REACH juga tidak mahu melihat penduduk diberikan pampasan kewangan yang kecil dan akhirnya mereka terpaksa pulang semula ke kampung asal kerana tidak mampu membeli rumah di bandaraya.
Sebarang penyelesaian hendaklah yang melihat mereka kekal di atas tanah tersebut atau paling kurang kekal di bandaraya.
Pemilik tanah wajar membangunkan sebahagian dari tanah tersebut untuk menempatkan penduduk.
Kos pembinaan boleh dibiayai dengan membina unit-unit kediaman yang lebih banyak dari yang diperlukan penduduk dan unit-unit lebihan ini dijual kepada orang ramai untuk mendapatkan pulangan.
Konsep subsidi silang (cross subsidy) ini telah dilaksanakan oleh pemaju-pemaju untuk menguruskan peneroka bandar yang berada di tanah mereka.
REACH berpandangan berdasarkan pengorbanan mereka, setiap keluarga wajar diberikan pampasan sebuah rumah 850 kaki persegi bernilai sekurang-kurangnya RM300,000 sebuah.
REACH berharap isu-isu ini dapat diselesaikan dengan segera kerana kami tidak mahu melihat ia berpanjangan sehingga menjadi isu perkauman.
Kerajaan juga perlu campur tangan kerana terdapat veteran-veteran tentera di kampung itu dan ini adalah masanya untuk membalas jasa-jasa mereka yang telah mempertahankan negara dari petualang-petualang.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
21 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 21/12/2023











