
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyalurkan bantuan barangan dapur kepada lebih 200 keluarga dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam.
Beliau berkata, sumbangan itu membabitkan rakyat yang terkesan secara langsung mahupun tidak langsung dalam bencana banjir baru-baru ini.
“Pengagihan sumbangan ini sudah menjadi rutin kami di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu.
“Lagi-lagi bila tiba musim tengkujuh ini, maka saya telah mengarahkan semua staf pejabat untuk agresif berkenaan hal ehwal kebajikan rakyat,” tambahnya lagi.
Ahmad Amzad berkata, pengagihan sumbangan itu sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan berkongsi rezeki bersama rakyat dalam parlimen Kuala Terengganu.
“Semua maklum, peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang tiada, namun saya tetap perlu bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat saya walaupun perlu keluar duit sendiri.
“Kita juga melaksanakan projek bantuan khas kepada dua buah keluarga setiap DUN dalam parlimen Kuala Terengganu yang amat-amat memerlukan. Kita beri barang dapur beserta wang tunai,” katanya.
Seorang penerima bantuan, Muhammad Iqhwan Solehim bin Abdullah, 25, berasa sangat terharu apabila ahli parlimen sendiri datang menyampaikan sumbangan.
“Terima kasih banyak kepada YB Datuk atas sumbangan yang diberikan,” katanya.
Pesakit buah pinggang sejak tahun 2014 itu tinggal bersama isteri dan dua orang anaknya masing-masing berusia lima dan satu tahun.
Beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan (sementara) memaklumkan bahawa kesan daripada penyakit berkenaan menyebabkan bengkak seluruh badan, cepat penat dan lesu.
Selain bantuan yang diberikan, Pusat Khidmat Masyakat dengan kerjasama Pejabat DUN akan berusaha membantu berhubung dengan agensi-agensi yang berkenaan seperti Pusat Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Maidan untuk membantu meringankan beban beliau. – HARAKAHDAILY 13/12/2023












