Perlis catat KDNK 5.7 peratus bernilai RM6.2 bilion

- Advertisement -

KANGAR: Perlis mencatatkan peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.7 peratus pada tahun lepas dengan nilai RM6.2 bilion berbanding 1.4 peratus atau RM5.9 bilion pada tahun sebelumnya.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang utama yang memacu ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 70.2 peratus dengan nilai RM4.4 bilion.

“Ia diikuti oleh sektor pertanian sebanyak 16.9 peratus (RM1.05 bilion) sementara sektor pembuatan pula menyumbang sebanyak 7.9 peratus.

“Kemudia diikuti pula oleh sektor pembinaan sebanyak 2.5 peratus dan terakhir sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak 0.5 peratus,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut Mohd Shukri lagi, perdagangan borong dan runcit; makanan, minuman dan penginapan menjadi subsektor utama yang menyumbang kepada peningkatan sektor perkhidmatan.

“Kemudian diikuti subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

“Manakala peningkatan KDNK di dalam sektor pertanian adalah disumbangkan oleh subsektor tanaman dan diikuti oleh subsektor perikanan dan ternakan,” katanya lagi.

Di samping itu, ujarnya, KDNK Perkapita Negeri Perlis turut menunjukkan peningkatan sebanyak 7.45 peratus.

“Peningkatan tersebut adalah daripada RM21,522 pada tahun 2021 kepada RM23,126 pada tahun 2022.

“Ini menunjukkan bahawa produktiviti dan kecekapan negeri semakin meningkat dalam menjana pendapatan keseluruhan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2023

- Advertisement -