‘Sama ada demokrasi atau tidak, PAS mesti terus ada’

- Advertisement -

KUALA LIPIS: PAS Pahang Barat meletak sasaran beberapa lagi Dun menjadi sasaran untuk dimenangi selepas Cheka pada pilihan raya akan datang.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Roslan Zainal berkata kemenangan itu tidak mustahil berlaku, kerana Cheka telah buktikan tetapi matlamat PAS bukan sekadar menang pilihan raya.

“Tuan-tuan, dalam PAS ini milestone ataupun penanda aras pencapaian kita salah satunya adalah pilihan raya. Walau bagaimanapun ia bukan satu-satunya.

“Kita sebagai Gerakan Islam, PAS ni, mesti sentiasa meletakkan komitmen kita bahawa PAS ini mesti sentiasa bekerja sama ada ada atau tidak ada pilihan raya, sama ada Malaysia kekal sebagai sistem demokrasi berparlimen atau tidak, PAS mesti terus ada, terus kuat dan diperkasakan dalam apa jua keadaan,” ujarnya

Tambah beliau lagi, PAS bukan sekadar wadah politik tetapi juga adalah benteng dan penjaga Islam.

“PAS selain daripada parti politik, kita adalah benteng dan penjaga, we are the guardian of Islam dalam negara Malaysia ini.

“Tiada PAS maka akan runtuhlah tembok atau benteng untuk menjaga Islam dan umat Islam. Justeru kita kena faham betul-betul bahawasanya, pilihan raya hanyalah salah satu ‘core bisnes’ kita,” ujar beliau yang juga Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Kuala Lipis.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam sesi Lawatan Kerja JK Koordinasi PAS Kawasan Zon Barat, ‘Parliamentary Committee 4 (PC4)’ ke kawasan Lipis bertempat di Dewan Abdullah Sani, Kota Istiqomah, Simpang Berembang, Lipis, semalam.

Lebih 50 orang peserta hadir terdiri daripada ahli jawatankuasa cawangan dari tiga Dun dalam Kuala Lipis, iaitu Cheka, Benta dan Padang Tengku, wakil Dewan Pemuda, Dewan Muslimat serta Nuqaba kawasan.

Kepimpinan PAS Pahang Barat pula diwakili YDP masing-masing terdiri daripada PAS Bentong, Khairuddin Abdullah, Raub, Mohammad Mat Saad serta Cameron Highlands diwakili Ustaz Mohd Nor Yasim.

Lawatan kerja itu merupakan susulan daripada pertemuan pertama bersama setiausaha dan YDP PAS Kawasan Pahang Barat baru-baru ini bagi membincang dan melaksanakan gerak kerja (PC4) di zon barat seperti ditetapkan negeri sebagai persiapan menghadapi PRU16.

Roslan ditaklifkan sebagai TPJ baru menggantikan Ustaz Yohanis Ahmad dari Zon Tengah dengan tugasan khusus menjaga pentadbiran parti di peringkat Zon Pahang Barat merangkumi Cameron Highlands, Kuala Lipis, Raub dan Bentong. – HARAKAHDAILY 11/12/2023

- Advertisement -