
YAB MB Pahang telah membentang belanjawan Pahang tahun 2024 dengan anggaran hasil sebanyak RM1,137,853,400 dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,125,837,099 dan anggaran perbelanjaan pembangunan sebanyak RM301,291,576 menjadikan perbelanjaan tahun hadapan mempunyai lebihan RM12,016,301.
Saya telah bangkitkan beberapa isu utama dalam belanjawan kali ini seperti hasil bukan cukai daripada deposit yang tidak dituntut sebanyak RM6,674,600. Satu jumlah yang sangat besar. Saya membangkitkan isu ini kerana sekiranya ditolak jumlah sebenar lebihan hanya RM5,341,701.
Persoalannya kenapa deposit ini tidak dituntut kerana dikhuatiri jumlah kerugian dari projek yang berkemungkinan tergendala atau sakit jauh lebih besar berbanding deposit yang tidak dituntut itu.
Demikian juga mengikut laporan audit kerajaan kehilangan hasil dari bayaran permohonan permit ruang udara dianggarkan untuk tahun 2024 hanya RM200 sahaja berbanding tahun 2022 sebanyak RM3.85 juta.
Kerugian besar ini menyebabkan pendapatan kerajaan Pahang merosot lebih dari RM5.58 juta berbanding tahun 2022.
Selain itu saya juga bangkitkan pembangunan seimbang antara Pahang Barat dengan wilayah Pahang Timur. Punca utama ialah rangkaian jalan raya yang tidak dinaik taraf terutama antara Jerantut-Benta dan Kerambit ke Jerantut demikian juga jalan raya di Lipis, Jerantut dan Raub yang perlu dinaik taraf segera.
Selain itu saya menggesa agar kerajaan negeri segera membuat kajian sumber NR-REE Pahang yang agak besar. Isu kecurian sumber perlu dikawal, kerajaan perlu mewujudkan pemantauan di peringkat daerah bagi memastikan ketirisan di peringkat sumber hasil utama dapat dikawal.
Bagi merealisasikan cadangan ini, saya cadang kerajaan melantik pentadbir daerah bagi mengawal dan memantau sumber dengan menjadikan 10 peratus hasil daripada daerah berkenaan diserahkan kepada PBT atau daerah berkenaan bagi pembangunan setiap daerah. Dengan ini akan berlaku pembangunan yang lebih cepat di daerah yang tidak banyak hasil cukai pintu atau cukai tanah yang tidak mampu menampung pembangunan di daerah berkenaan.
Saya juga membantah hasrat kerajaan untuk mengeluarkan tiga Pulau Tioman iaitu Pulau ASP Yol, Renggis dan Tumor dari gugusan taman laut. Ini kerana ketiga-tiga pulau tersebut meraikan tumpuan utama pelancong untuk menyelam dan ‘snorkeling’ utama paling popular di kuar pantai Barat Tioman.
Selain itu, saya juga bangkitkan keperluan LRA Mela dinaik taraf, jalan dan jambatan yang sering kali tenggelam bila musim banjir dan pembangunan setempat.
DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
ADN Cheka
4 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 4/12/2023











