
PILIHAN raya kali ketiga. Mahu tak mahu kena masuk bertanding juga. Kalau tak bertanding, lawan akan menang percuma. Ustaz Che Alias telah melaksanakan tugas dengan baik ketika menjadi Ahli Parlimen Kemaman penggal lepas, walaupun berada dalam tempoh PKP dan dua kerajaan – Pakatan Harapan dan PERIKATAN NASIONAL (PN). Hanya ketika PN menjadi kerajaan pusat, ahli parlimen mendapat peruntukan. Beliau gunakan peruntukan itu untuk Kemaman. Rekodnya ada.
Saat menulis artikel ini pada jam 5 petang 2 Dis 2023, saya berada di Bilik Operasi DUN Cukai, sedang menunggu jam terakhir pengundi masuk tempat mengundi memilih calon Parlimen Kemaman. Data di depan mata insya-Allah PAS mendahului dengan majoriti sekian, sekian. Hakikatnya Allah Yang Maha Mengetahui.
Melihat kepada mood massa sebelum pilihan raya, calon PS-PN, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) disenangi ramai. Beliau telah dikenali sebagai Menteri Besar Terengganu yang berkredibiliti. Calon sebelah sana kurang dikenali, walaupun ada jawatan tinggi. Kita tidak pernah memandang rendah kepada jasa tentera.
Ketika kempen pilihan raya kecil ini, Dr Sam turun meninjau jentera pilihan raya PAS peringkat Unit Daerah Mengundi (UDM). Alhamdulillah, sambutan menggalakkan.
Sepanjang dua minggu kempen pilihan raya juga, Kemaman didatangi ramai tokoh PAS dan PN peringkat pusat dan negeri, sama ada dari parti atau yang bersekutu. Juga tenaga bantu dari DUN seluruh negeri Terengganu, dan negeri lain yang datang membantu. Tentunya harapan sangat besar untuk menang. Calon pula Menteri Besar Terengganu. Matlamat yang diletak ialah bukan sekadar menang, tetapi majoriti menang menjangkau 30,000 undi.
Hampir Isyak, dashboard tidak rasmi PAS menunjukkan peningkatan majoriti-26,000 ke 27,000. Pimpinan PAS di Bilik Gerakan berteka-teki berapa sebenarnya majoriti. Ada yang menjangka hingga 40,000 undi. Setiap kali angka majoriti meningkat, masing-masing bersorak kegembiraan. Apabila Dr Sam masuk, semua mengucapkan tahniah.
Di Kemaman Arena Square di seberang PADANG ASTAKA, puluhan ribu hadirin telah membanjiri seawal lepas Maghrib, mengikuti perkembangan penjumlahan undi. Pimpinan PAS diketuai Dr Sam berjalan kaki dari Bilik Gerakan DUN Cukai bersama pimpinan PAS yang lain, diikuti isteri serta penyokong.
Segenap ruang dewan Kemaman Arena Square dipenuhi manusia. Dari depan sampai belakang. Semenjak Kemaman Arena Square ini siap dibina, saya rasa ini adalah kehadiran teramai dan paling meriah. Kawasan berbumbung agak selesa dan luas. Jangkaan awalnya hujan. Bimbang juga jika lebat dan kemungkinan banjir. Alhamdulillah, cuaca elok.
Di awal pagi ketika kempen, saya lihat para muslimat dari DUN Batu Buruk selaku DUN bantu di UDM Gong Limau asyik berzikir. Sebelumnya muslimat setempat bermunajat. Dan tentunya kami bermula dengan bacaan doa yang saya bacakan sebelum petugas masuk bertugas.
Dr Sam memulakan ucapan di Kemaman Arena Square. Diikuti ucapan-ucapan dari beberapa pimpinan lain. Kemudian berarak ke Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman untuk mengikuti pengumuman rasmi keputusan di sana daripada pihak SPR.
Saya, pada awalnya, menulis sedikit pantun untuk Dr Sam baca di Kemaman Arena Square. Tapi dengan keadaan ramai orang yang berasak-asak dan sangat padat, beliau hanya bercakap spontan. Pantun itu pun tak sempat dilihat malam tadi. Saya nukilkan di sini dengan tambahan satu rangkap dari ucapan Dr Sam.
Insya-Allah, selepas ini, Kemaman akan menjadi kubu PAS, PN pula dan menjadi kubur untuk BN, PH.
Satu ayat yang cukup menarik disebutkan oleh Dr Sam malam tadi mengenai ‘buka pintu’ untuk menuju Putrajaya.
“Insya-Allah apa yang kita hadapi pada hari ini di Parlimen Kemaman dengan majoriti yang begitu tinggi hasil kerja kuat daripada tuan tuan sekalian merupakan suatu game changer, pembuka pintu, insya-Allah untuk kita menuju ke Putrajaya?
Pergi Kijal makan lemang,
Makan lemang dengan ceria,
Alhamdulillah PAS dah menang,
Terima kasih kepada semua.
Makanan di Kemaman banyak menu,
Makanan, minuman bermacam rasa,
Kita bangunkan Kemaman dan Terengganu,
Lebih maju, berkat, sejahtera.
Dr Sam makan burger,
Burger dimakan sangat selera,
Menang ini game changer,
buka pintu ke Putrajaya.
Insya-Allah. – HARAKAHDAILY 3/12/2023
Penulis adalah Pengarah Pilihanraya DUN Cukai, Kemaman dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kemaman.












