
KOTA BHARU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) diminta turut menjayakan Belanjawan Kelantan 2024 yang bertemakan ‘Kelantan Mampan Berkat Sejahtera’.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata jalinan kerjasama itu hanya membabitkan tiga daripada lima teras yang dirangka dalam belanjawan tersebut.
Katanya teras pertama iaitu pemerkasaan agama dan pendidikan kerajaan negeri mengumumkan sebanyak RM5 juta diperuntukan bagi membina Masjid Gantian Kampung Laut.
“Sebagai salah satu usaha pemerkasaan komuniti pembangunan Kampung Laut yang telah diaksanakan ECERDC sebelum ini iaitu projek Pemuliharaan Kampung Warisan Kampung Laut.
“Bagi kelangsungan dan jaminan bekalan makanan negara untuk kesejahteraan rakyat, sebanyak RM11.69 juta diperuntuk untuk Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sambutan ulang tahun ke-15 penubuhan ECERDC Peringkat Negeri di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad; Exco Kerajaan Negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat.
Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan ECERDC bagi melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi mengenal pasti tanah terbiar.
Kata beliau sebanyak RM3.15 juta diperuntuk bagi melaksanakan usaha itu membabitkan Jeli, Kuala Krai, Gua Musang dan Machang yang sesuai dengan projek pertanian komersial.
Menerusi Teras Ketiga iaitu Ekonomi Progresif katanya, sebanyak RM23.22 juta diperuntukkan bagi melaksanakan agropelancongan, ekopelancongan dan promosi Tahun Melawat Kelantan 2024.
“Projek pelancongan hijau di Tanah Tinggi Lojing dan penaiktarafan tapak warisan Kampung Laut turut akan melibatkan komitmen kerajaan negeri dan ECERDC bagi mempromosi sektor pelancongan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/2023











