
KEMENANGAN calon PERIKATAN NASIONAL dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman sangat penting supaya dapat dilihat sebagai suatu gagasan terdiri daripada PAS dan Bersatu yang menampilkan tokoh profesional. Ini juga sekali gus dapat menyangkal pandangan setengah pihak yang melihat bahawa PAS hanya parti pak lebai atau parti orang kampung. Wawancara Harakah, SAIDAH HAIRAN bersama Setiausaha As Sabiqun Pusat, HAJI MOHAMAD NOOR MOHAMAD di Darul Iman Training Centre (DITC) Kemaman.
HARAKAH: Bagaimana Tuan Haji melihat perkembangan terkini sokongan pengundi di saluran satu dan dua yang terdiri daripada warga emas untuk memberi sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL di parlimen Kemaman ini?
HAJI MOHAMAD NOOR MOHAMAD: Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini sangat penting untuk menang. Sidang As Sabiqun sebagai salah satu entiti dalam PAS, juga berperanan bagi memastikan hasrat untuk mencapai kemenangan ini.
Seperti yang kita sedia maklum As Sabiqun berperanan bagi menumpukan gerak kerja kepada mereka yang berusia 55 ke atas yang kebanyakannya berada di saluran 1 dan 2 yang dahulu selalu menjadi tumpuan BN untuk mendapat undi.
Alhamdulillah mutakhir ini, ia sudah bertukar di mana sebahagian daripada pengundi-pengundi di saluran 1 dan 2 telah menyokong PERIKATAN NASIONAL dan telah terbukti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Terengganu.
As Sabiqun menjangkakan senario yang sama akan berulang di parlimen Kemaman ini. Tambahan pula calon yang dikemukakan oleh PERIKATAN NASIONAL adalah tokoh yang membawa kejayaan besar kepada PERIKATAN NASIONAL di Terengganu, di mana semua kerusi 32 DUN negeri dan 8 parlimen berjaya dimenangi PERIKATAN NASIONAL (PAS).
Jadi tokoh yang dikemukakan oleh PERIKATAN NASIONAL dari PAS ini adalah tokoh yang layak intuk dipilih oleh pengundi-pengundi di Kemaman. Sehubungan itu, peranan As Sabiqun adalah untuk memastikan pengundi-pengundi yang dikatogerikan dalam saluran 1 dan 2, untuk menyokong calon PERIKATAN NASIONAL iaitu Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar supaya menang pada pilihan raya kecil, 2 Disember Sabtu ini.
Tuan Haji, apa tugas khusus yang perlu dilaksanakan oleh Sidang As-Sabiqun dalam setiap kali pilihan raya diadakan?
Dalam konteks pilihan raya kecil parlimen Kemaman ini, As Sabiqun menyertai kerja yang telah disediakan oleh kontingen negeri-negeri di mana As Sabiqun bersama-sama dengan negeri-negeri. As Sabiqun Pusat tidak menyediakan satu program khusus tetapi kami bersama-sama menyertai program yang telah diatur oleh pihak kontingen negeri dalam melaksanakan tugas mereka.
Ini kerana kita tidak mahu berlaku pertindihan di antara tugas yang dibuat oleh As Sabiqun dengan gerak kerja jentera pilihan raya yang telah dilaksanakan oleh jentera pilihan raya negeri-negeri.
Alhamdulillah setakat ini nampaknya keserasian ini berlaku, di mana tidak ada berlaku pertembungan gerak kerja As Sabiqun dengan jentera negeri-negeri.
Insya-Allah dengan kelancaran ini kita yakin sehingga menjelang hari pengundian momentum ini akan berterusan dan dengan keserasian ini kita menjangkakan pengundi-pengundi di Kemaman akan memberi sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL, Dr Samsuri (Dr Sam).
Masalah yang sering kita hadapi pada setiap kali pilihan raya kecil apabila majoriti pengundi keluar mengundi tidak mencapai sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan PERIKATAN NASIONAL itu sendiri. Bagaimana Tuan Haji melihat perkara ini?
Memang kalau kita lihat siri pilihan raya kecil peratus keluar mengundi adalah lebih rendah berbanding pilihan raya umum dan kemungkinan juga pada pilihan raya kecil ini, suasana yang sama akan berlaku.
Sehubungan itu, As Sabiqun menyeru kepada ibu bapa mereka supaya pengundi-pengundi yang ada di luar Kemaman kena balik untuk mengundi dan menangkan calon PERIKATAN NASIONAL. Supaya pilihan raya di Kemaman ini dapat kita jadikan satu asas untuk PERIKATAN NASIONAL mengekalkan kemenangan.
Ini kerana kemenangan di parlimen Kemaman penting bagi PERIKATAN NASIONAL untuk menghantar ahli parlimen ke Dewan Rakyat. Selain itu supaya PERIKATAN NASIONAL dapat dilihat sebagai suatu gagasan terdiri daripada PAS dan Bersatu yang merupakan satu gagasan yang boleh menampilkan tokoh profesional sebagai calon mereka. Ini juga sekaligus dapat menyangkal pandangan setengah pihak yang melihat bahawa PAS hanya parti pak lebai atau parti orang kampung.
Dengan kita dapat menghantar Dr Samsuri ke parlimen ia akan dapat menghilangkan tohmahan-tohmahan selama ini bahawa parti PAS tidak ada tokoh profesional yang boleh diketengahkan kepada rakyat untuk menjadi pilihan mereka.
Oleh kerana itu kita menyeru pengundi-pengundi balik mengundi manakala pengundi yang ada di Kemaman mesti keluar mengundi beramai-ramai bagi memastikan kejayaan PERIKATAN NASIONAL PAS kekal memenang pada pilihan raya kecil ini. Mesej ini amat penting kepada politik dalam negara kita. – HARAKAHDAILY 1/12/2023












