
SEMASA di United Kingdom (UK) kami memimpin HIZBI UK & EIRE. Persatuan pelajar yang membawa aspirasi politik Islam Malaysia di bumi United Kingdom dan Ireland. Masa tu saya presiden dan beliau timbalan. Itu cerita lebih 20 tahun yang lalu. Sekarang bekas timbalan saya sudah jauh ke hadapan meninggalkan saya.
Tapi ini bukan soal jawatan. Dalam jamaah, kita diajar untuk tidak berlumba atau berebut jawatan. Jawatan adalah amanah dan tanggungjawab. Beliau menanggung tanggungjawab yang tak mampu saya pikul. Dan beliau memang orangnya. Beliau mampu menggalas cita-cita dan aspirasi jamaah untuk masa depan Malaysia Insya-Allah.
Saya dan YB Dato’ Abdul Halim Tamuri di Aston, Birmingham, manakala YAB Dato’ Seri Dr. Samsuri di Cheetam Hill, Leeds. Jaraknya sekitar 2 jam perjalanan. YB. Dato’ Halim bekas profesor di UKM. Beliau juga bekas orang kuat HIZBI UK & EIRE, meletakkan jawatan kerana menggalas amanah jamaah dalam PRU Negeri baru-baru ini. Saya cukup mengenali beliau. Saya tahu betapa beratnya untuk beliau melepaskan jawatan di UKM. Bukan kerana takut hilang kedudukan tetapi kerana kecintaannya yang mendalam dalam bidang akademik.
YB Dato’ Halim memang cemerlang dan kami di Kelantan pun banyak menggunakan khidmat nasihat beliau terutamanya dalam menjayakan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan. Semua guru-guru YIK pasti mengenali beliau. Tetapi itulah perjuangan yang perlukan pengorbanan. Walaupun bukanlah besar sangat tetapi terasa berat juga untuk melakukannya. Saya juga pernah melalui situasi itu. Alhamdulillah beliau menang di DUN Paya Jaras Selangor. Tak cukup dengan itu diberi lagi amanah menggalas jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.
Seorang lagi ahli ‘geng’ kami tapi bertaraf mursyid adalah Prof. Dato’ Dr. Zulkifli Yusuf, mantan Pengarah Akademi Pengajian Islam, UM. Semasa di United Kingdom beliau berada jauh di Lampeter, Wales, kawasan perbukitan yang agak terpencil tetapi sangat cantik dan tenang. Semasa di UK beliau dihormati dan digeruni kawan taulan. Menjadi rujukan adik-adik pelajar. Beliau sudah pencen tetapi disambung khidmat kerana UM masih memerlukan ilmu dan pengalamannya. Saya rasa beliau tak lama di UM. Tunggu ketika sahaja untuk bersama kami sepenuh masa.
Antara kami berempat, Prof. Zul yang paling tua dan Dr. Samsuri (Dr. Sam) yang paling muda. Tetapi kami mempunyai anak-anak yang lebih kurang setara umur, sama-sama membesar di sana. Setiap kali program besar seperti Winter Gathering, Summer Gathering dan program-program lain, kami mesti ada. Selain dari program jamaah, kami akan pastikan kami sentiasa berjumpa. Kalau tidak di Aston, Birmingham, di Chetam Hill, Leeds. Sekali sekala di Lampeter. Sahabat-sahabat inilah galang ganti keluarga apabila berada jauh di perantauan. ‘Event’ mingguan yang paling seronok adalah Car Boot Sales. Selain dari bersiar-siar bersama keluarga, dapat beli barang dengan harga murah.
Di sini saya nak sentuh lebih lagi mengenai Dr. Samsuri. Prof. Zul dan YB Dato’ Halim Tamuri akan sampai masanya nanti. Dr. Samsuri bukan calang-calang anak Melayu. Beliau memegang Ph.D dalam bidang aero angkasa. Ia menandakan tahap kemampuan capaian kecerdasannya. Pulang dari UK menjadi pensyarah di UKM dan UPM. Kalau masih ingat beliau juga antara pakar yang sentiasa keluar di media perdana ketika Malaysia kehilangan pesawat MH 370 dulu. Masa itu seingat saya beliau sudah tidak lagi berada di universiti.
Sedang melonjak naik dalam bidang akademik tiba-tiba diminta berhenti dan bekerja sepenuh masa dengan jamaah tanpa dijanjikan pendapatan tetap. Sekadar imbuhan cukup menyara keluarga dan sedikit sumbangan di sana sini dari kawan taulan. Beliau akur dan terus meletakkan jawatan. Saya tidak sanggup untuk membuat keputusan sebegitu. Bila diberitahu kawan-kawan, dalam hati saya kurang bersetuju dengan keputusan itu. Tetapi keputusan kepimpinan sentiasa kami utamakan. Pimpinan melihat jauh ke hadapan sedangkan kita pula ada pertimbangan sampingan.
Sebagai setiausaha kepada Presiden PAS, beliau sentiasa bersama mengiringi Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) ke mana sahaja. Berjumpa tokoh politik negara dan antarabangsa, terlibat dengan percaturan dan perancangan parti dan sudah tentu terlibat dalam memberikan pandangan dan nasihat kepada TG Presiden. Rupanya TG Presiden sudah ada perancangan awal dan itu adalah sebagai asuhan. Sangat jauh pandangan TGHH.
Tidak mengejutkan apabila dalam PRU ke-14 beliau diletakkan bertanding di Rhu Rendang menggantikan batang tubuh TGHH. Bila beliau memberitahu saya keputusan itu saya dah boleh agak apa sebenarnya perancangan TGHH untuk beliau. Dan agakan saya betul. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu walaupun ada pimpinan negeri yang lebih senior. Tapi begitulah dalam PAS, kita akan menerima siapa yang dipilih jamaah. Yang tidak taat dan wala’ atau ada kepentingan peribadi lambat laun akan terbuang. Itulah pengalaman yang sangat berharga dapat dipelajari sepanjang bersama perjalanan perjuangan PAS.
Dr. Samsuri membuktikan kemampuannya yang bukan biasa hanya dalam tempoh sepenggal sebagai Menteri Besar Terengganu. Pentadbirannya bukan sahaja bersih tetapi cekap dan cemerlang. Banyak perubahan dan pembaharuan yang dilakukan dan kejayaan-kejayaan baru yang dicapai. Apa yang dilakukannya dalam tempoh 5 tahun tidak mampu dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum itu. Ada orang kata Dr. Samsuri bukan untuk Terengganu tetapi sebenarnya untuk Malaysia. Pimpinan PAS juga sebenarnya melihat begitu.
Perancangan Allah di luar capaian kita. Tiba-tiba sahaja ada PRK Parlimen Kemaman. TGHH sekali lagi buat langkah ke hadapan. Dr. Samsuri diletakkan sebagai calon walaupun sudah ada jawatan besar di peringkat negeri. Saya kira suatu percaturan yang tidak sulit untuk kita faham. Ringkasnya ada perancangan besar di hadapan. Betullah Dr Samsuri selayaknya untuk Malaysia. Bukan saya yang kata. YB Timbalan Presiden PAS sendiri yang membayangkan hal ini baru-baru ini.
Untuk sahabat kami Dr. Samsuri, PAS meletakkan harapan yang tinggi kepada beliau. Beliau membawa misi PAS. Sebagai sahabat kami mendoakan agar beliau berjaya menggalas amanah ini dengan jayanya. Dengan gandingan pimpinan PAS yang sudah ada pengalaman di pusat seperti YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, YB. Datuk Idris Ahmad, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan ramai lagi, PAS bersama rakan dalam PN mampu membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik. PRK Kemaman bukan kita yang rancang. Ia bukan seperti Langkah Kajang yang masyhur satu ketika dulu. Tapi percayalah ia akan membawa nilai yang signifikan kepada masa depan politik PAS di Malaysia. Saya kira BN sendiripun menyesal bawa petisyen batalkan keputusan PRU Parlimen Kemaman.
Saya menyeru pengundi-pengundi di Kemaman. Keluarlah mengundi Sabtu nanti dan jangan sia-siakan peluang ini. Kemaman nanti tercatat dalam peta besar Malaysia. Kepada perantau, pulanglah dan jangan ambil ringan. Memang kita sudah menang, Insya-Allah, tetapi kita mahu kemenangan yang lebih besar.
YB DATO’ DR. MOHAMED FADZLI HASSAN
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Timbalan Menteri Besar Kelantan – HARAKAHDAILY 30/11/2023











