
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, bayaran iKafalah sebanyak RM500 lebih difokuskan kepada golongan kurang berkemampuan.
Namun katanya, atas ehsan para Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ketika menziarahi kematian, bayaran tersebut juga diberikan kepada mereka yang berkemampuan.
“Untuk tahun 2024, peruntukan iKafalah dinaikkan kepada RM3.5 juta dan dapat membantu lebih 7,000 penerima,” jelasnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Aman, semalam.
Bantuan iKafalah itu katanya disumbang bertujuan meringankan beban waris atau ahli keluarga bagi melaksanakan atau menyempurnakan pengurusan jenazah setelah berlaku kematian.
Tetapi tambah beliau, ketika tempoh DUN dibubarkan, bayaran berkenaan ditangguhkan.
“Tiada pembayaran dibuat ketika kerajaan dibubarkan pada bulan Julai dan Ogos, walau bagaimanapun pembayaran kepada mereka yang terlibat telah mula dibuat pada September lalu,” jelas Sanusi lagi.
Mengulas lanjut ujarnya, permohonan bagi bantuan iKafalah boleh dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas tarikh kematian dengan mengemukakan permohonan kepada Pusat Khidmat DUN masing-masing. – HARAKAHDAILY 30/11/2023











