Terengganu fokus tingkat pelaburan domestik, asing

Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri dalam proses penambahbaikan Garis Panduan Pembangunan lndustri Negeri Terenganu 2004-2008 kepada satu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan mengikut keadaan ekonomi semasa dan akan datang.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dasar itu dirangka untuk menarik pelaburan berimpak tinggi selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) dan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam RMKe-12.

“Matlamat Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu Baharu akan memfokuskan kepada meningkatkan pelaburan domestik dan pelaburan asing ke Terengganu.

“Selain menawarkan peluang dan ruang kepada pelabur yang berpotensi bagi semua perindustrian berkonsepkan mesra pelabur (investor friendly) selain penerokaan perindustrian baru,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Secara khususnya, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan lktisad Negeri Terengganu, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai agensi yang telah dilantik untuk menguruskan kawasan perindustrian Negeri Terengganu.

Sementara itu, beliau berkata, perindustrian negeri Terengganu akan menawarkan tiga insentif kepada pelabur.

“Pertama, pemberian harga diskaun berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dan bergantung kepada keadaan tapak industri yang ditawarkan.

“Kedua, pembayaran pajakan tanah secara berjadual bagi membantu pelabur untuk merancang dan dapat merealisasikan pelaburan yang dicadangkan dengan lebih lancar.

“Ketiga, penyediaan infrastruktur asas yang diperlukan atau pengurangan daripada tawaran harga pajakan bagi meringankan pelabur,” katanya.

Saiful Azmi dalam soalannya bertanya apakah polisi dan insentif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri di samping Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam mengalu-alukan dan menarik minat pelabur untuk memilih Negeri Terengganu sebagai lokasi untuk mereka melabur. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -