
ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengekalkan peruntukan mengurus kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang untuk sesi kali ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan mengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) kekal RM2,000 sebulan pada tahun 2024, berdasarkan peruntukan tahun semasa.
“Peruntukan mengurus DUN itu dimulakan tahun lalu. Sebelum ini tak ada peruntukan itu kepada pembangkang,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Kedah 2024 pada persidangan DUN di Wisma Darul Aman, hari ini.
Di samping itu jelasnya lagi, sejumlah RM50,000 setahun disediakan kepada semua Adun pembangkang di mana pembayarannya ke Pusat Khidmat DUN masing-masing.
Katanya,p eruntukan itu adalah bagi tujuan sumbangan, pemberian, program dan lain-lain berkaitan pusat khidmat.
Sanusi menyentuh hal berkenaan ekoran terdapat permintaan daripada Ketua Pembangkang, Bau Wong agar peruntukan mengurus dinaikkan kepada RM3,000 sebulan.
“Sekiranya ada kelapangan, saya pun berharap peruntukan itu akan dapat ditambah kepada Adun pembangkang pada masa akan datang,” kata Adun Jeneri itu lagi.
Justeru tambahnya, untuk sesi ini peruntukan kepada DUN pembangkang berjumlah berjumlah RM222,000 setahun (tiga DUN) melibatkan RM74,000 untuk setiap DUN pembangkang. – HARAKAHDAILY 29/11/2023











