‘Itik jantan kejar itik betina, bukan jantan kejar jantan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 sekalipun diluluskan tetapi tidak mengatasi kelompongan yang berlaku adalah disebabkan oleh Menteri Kesihatan sendiri.

Datuk Dr Mohd Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, Menteri tersebutlah yang menandatangani pengecualian nikotin daripada akta racun dan pengecualian ini dibuat sebelum lulusnya akta baharu untuk mengawal penjualan dan pemasaran nikotin termasuk bernikotin. 

“Bayangkan sekiranya dalam tempoh 1 April hingga ke hari ini ada anak-anak kita mula mengambil cecair vape bernikotin kerana kelompongan-kelompongan undang-undang yang dicipta sendiri oleh Menteri, tidakkah Menteri berasa bersalah? 

“Dan hari ini kita sekali lagi didendangkan dengan tindakan kerajaan ini yang tidak memasukkan peruntukan berkaitan dengan GEG di dalam RUU yang dibentangkan,” suaranya kesal ketika perbahasan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurut beliau, sebagai ibu bapa tentulah menginginkan yang terbaik untuk anak-anak agar mempunyai akhlak, sahsiah, pendidikan serta pekerjaan terbaik serta tidak menjadi seorang perokok.

“RUU ini amat mengecewakan apabila peruntukan mengenai generasi penamat rokok atau GEG tidak dimasukkan. Alasan Menteri peruntukan GEG tersebut boleh dicabar di mahkamah kerana terdapat komponen yang dilihat bertentangan dengan Perlembagaan. 

“Apakah benar u-turn ini dibuat kerana peruntukan tersebut boleh dicabar di mahkamah? Menteri perlu jelas dalam hal ini,” gesa bekas Menteri Pendidikan itu.

Pertikaian beliau itu disertakan dengan hujah mengenai proses perundangan ditetapkan sebelum sesuatu RUU menjadi draf dibacakan, di mana RUU berkenaan sama sekali tidak bertentangan Perlembagaan sebagaimana dinyatakan.

“GEG tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan pandangan pakar-pakar perundangan. Ini ada dalam laporan jawatankuasa,” ujarnya menyenaraikan Ahli-ahli Parlimen terlibat ketika itu.

Menjelaskan tujuan RUU GEG digubal dan segala proses serta penelitian dilalui, kerajaan tegasnya perlu memiliki kesungguhan politik untuk membuat perubahan tersebut dan bersedia dicabar di mahkamah.

“Menteri perlu berterus-terang di sini apakah yang menyebabkan peruntukan GEG tidak dimasukkan dalam RUU ini. Kalau peruntukan GEG dikeluarkan kerana kerajaan tunduk pada pelobi nyatakanlah.

“Sedarkanlah Menteri bahawa isu vape dan merokok in merupakan satu isu besar, nyatakanlah kebenaran,” hujahnya dalam nada merayu dan menggesa itu.

Dr Radzi turut membidas cacamerba dalam RUU tersebut berkaitan larangan menerbitkan iklan peranti merokok yang dikaitkan juga olehnya dengan persoalan melibatkan pelobi tertentu.

“Tak tahu mana hujung, tak tahu mana pangkal, tak tahu mana jantan, tak tahu mana betina. Dan jika kita lihat filem Nujum Pak Belalang pun, bila dikatakan kayu yang tenggelam itu adalah pangkal dia ada alasan dia. 

“Dia kata itik yang belakang itu itik jantan kerana dia kejar itik betina. Ada alasan dia. Dia tak kata itik jantan, kejar itik jantan. Sebab itu perlu jelas kalau isunya Perlembagaan nyatakan, maknanya tidak ada lagi ruang untuk kita bawa balik GEG ni ke Parlimen. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -