
KUALA LUMPUR: Pertanyaan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman di Dewan Rakyat, hari ini merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri bagi merealisasikan kewujudan dua negara iaitu Palestin dan Israel.
Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Luar Negeri menyatakan kepentingan kepada Malaysia terhadap pendirian ‘two-states solution’ seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri bagi merealisasikan kewujudan dua negara iaitu Palestin dan Israel serta pendirian Malaysia berkaitan langkah normalisasi Israel yang disokong beberapa buah negara lain.
Beliau mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Pertanyaan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL pada sesi itu sebagaimana di bawah.
Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan langkah-langkah yang diambil untuk mencegah penyalahgunaan media sosial sehinggakan adanya kes bunuh diri dilaporkan akibat buli siber di dalam platform TikTok.
Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah langkah yang telah diambil untuk melaksanakan syor yang dikemukakan oleh pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit Dan Terbengkalai (TFST) yang diwujudkan baru-baru ini.
Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Perdana Menteri menyatakan adakah isu penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) daripada sudut pandang agama akan dibawa ke Jawatankuasa Muzakarah MKI.
Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Perdana Menteri menyatakan apakah bentuk biasiswa, danasiswa dan dermasiswa yang masih disediakan oleh Kerajaan berdasarkan Perkara 153(2) Perlembagaan Persekutuan terutamanya kepada pelajar-pelajar miskin yang layak.
Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan perancangan Kementerian dalam melihat dan menilai pelaksanaan projek kediaman mampu milik di Permatang Pauh.
Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan kesediaan Kementerian dalam menyeimbangkan jurang literasi digital di antara penduduk Malaysia terutamanya bandar, pinggir bandar dan luar bandar.
Dr. Radzi Jidin [Putrajaya] minta Menteri Pertahanan menyatakan status terkini penjualan 33% saham Boustead Plantations Bhd oleh Boustead Holdings Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada Kuala Lumpur Kepong (KLK) Bhd.
Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Luar Negeri menyatakan kepentingan kepada Malaysia terhadap pendirian ‘two-states solution’ seperti yang dinyatakan oleh YAB. Perdana Menteri bagi merealisasikan kewujudan dua negara iaitu Palestin dan Israel serta pendirian Malaysia berkaitan langkah normalisasi Israel yang disokong beberapa buah negara lain.
Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pertahanan menyatakan kenapa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ingin menjual tanah kepunyaan Boustead Plantation seluas 4700 hektar kepada syarikat KL Kepong Berhad sedangkan tanah tersebut memberi pulangan yang besar kepada LTAT setiap tahun.
Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Perdana Menteri menyatakan status terkini kajian semula sistem saraan perkhidmatan awam berikutan kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 14 Julai 2023 bahawa Kerajaan telah bersetuju mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan tiadanya semakan gaji dibuat sejak 2012.” dan “perincian lanjut akan dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri”.
Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Perdana Menteri menyatakan susulan kes mahkamah seperti Iki Putra melawan Kerajaan Selangor dan Nik Elin melawan Kerajaan Kelantan yang mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah, adakah Kerajaan Persekutuan bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) [Lumut] minta Perdana Menteri menyatakan status tindakan pendakwaan mengenai Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) seperti yang disyorkan dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Penggal Ke-14 yang dipengerusikan oleh YB Tuan Wong Kah Woh.
Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Perdana Menteri menyatakan berapa jumlah kes sejak negara mencapai kemerdekaan yang telah dimohon oleh Peguam Negara untuk dihentikan prosiding selepas kes tersebut berjaya dibuktikan kewujudan prima facie dan tertuduh diminta untuk membela diri.
Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian Kerajaan terhadap tuntutan China yang disifatkan tidak mempunyai asas untuk meletakkan kawasan negara khususnya perairan Sabah dan Sarawak dalam daerah kekuasaannya berdasarkan undang-undang antarabangsa seperti yang digambarkan menerusi Peta Standard Edisi 2023 negara itu. – HARAKAHDAILY 27/11/2023











