
ALOR SETAR: Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) mempunyai beberapa perancangan untuk melahirkan bintang dalam pelbagai bidang sukan termasuklah bola sepak dan sepak takraw.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Mohammad Radhi Mat Din berkata, usaha itu dibahagikan kepada empat bahagian mengikut kategori masing-masing.
Jelas beliau, antaranya Program TID (Talent Identification & Development) untuk pengenalpastian bakat bagi menilai kecenderungan bakat atlet ke bidang sukan yang bersesuaian.
“Program ini adalah kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengenal pasti para pelajar di sekolah yang berbakat dalam bidang sukan,” jelasnya ketika menjawab soalan lisan Baddrol Bakhtiar (PAS-Gurun) pada persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.
Selain itu katanya lagi, MSNK juga mewujudkan Program Klinik Sukan bagi memupuk minat rakyat terhadap sukan.
Program itu, jelasnya dilaksanakan secara terbuka di lokasi yang dikenal pasti dengan kerjasama dengan pejabat-pejabat daerah dan lain-lain agensi.
Tambah beliau, melalui program itu juga kerjasama dengan JPN dijalinkan untuk menghantar lebih ramai atlet-atlet negeri ini ke sekolah-sekolah Sukan Malaysia.
Baddrol dalam soalannya memohon penjelasan berkenaan perancangan serta strategi untuk mengembalikan kegemilangan sukan di Kedah.
Dalam pada itu, Radhi yang juga ADUN Alor Mengkudu turut menjelaskan melalui Pelan Pembangunan Kedah 2035, terdapat beberapa jenis sukan akan diberi tumpuan.
“Tumpuan ini berdasarkan pencapaian mahupun kejayaan yang telah diperolehi oleh atlet Kedah di samping kemudahan infra sukan yang lengkap telah disediakan bagi mencapai The Greater Kedah.
“Antara contoh pencapaian, termasuklah kejayaan atlet Kedah, Sivasangari, Aifa dan Aira yang menyumbang pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2023. Sementara terbaru (25 November), Sivasangari juga turut menjuari Kejohanan Skuasy Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 27/11/2023











