
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka dan melaksana pelbagai strategi dan inisiatif bagi membolehkan komuniti bumiputera keluar daripada ‘jerat kelas menengah’.
Menurut Kementerian Ekonomi, usaha itu akan turut menyokong ke arah pencapaian matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2026 mengikut definisi tahap minimum pendapatan negara kasar (PNK) per kapita yang ditetapkan oleh Bank Dunia.
“Malaysia telah mencapai status negara berpendapatan pertengahan (middle income) sejak tahun 1992, namun sehingga kini, Malaysia masih terperangkap dalam jerat negara berpendapatan pertengahan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd. Kadir di Dewan Rakyat, semalam.
Shaharizukirnain dalam soalannya meminta Menteri Ekonomi menyatakan pelan induk yang telah dirangka untuk meningkatkan taraf ekonomi pekerja bumiputera tidak mahir sekali gus mengeluarkan mereka dari ‘jerat kelas menengah’.
Kata kementerian itu lagi, berdasarkan Laporan Survei Gaji dan Upah, Malaysia, 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 59.8 peratus pekerja di negara ini adalah bumiputera dengan gaji penengah sebanyak RM2,304, lebih rendah daripada gaji penengah pada peringkat nasional iaitu RM2,424.
Tambahnya, trend daripada tahun 2017 sehingga 2022 menunjukkan peningkatan gaji penengah bumiputera hanyalah sebanyak 3.0 peratus setahun.
“Memandangkan bumiputera merupakan jumlah yang terbesar dalam sektor formal ditambah dengan peningkatan gaji penengah yang perlahan, faktor ini turut memberi cabaran bagi negara untuk keluar daripada perangkap negara berpendapatan pertengahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2023











