
KUALA LUMPUR: Pencapaian Bersatu bersama PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) membuatkan lawan politik semakin resah.
Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Bersatu dilihat semakin berkembang pengaruh sehingga menarik perhatian banyak pihak.
Katanya, pemimpin Bersatu terutamanya ahli-ahli parlimen semakin mendapat perhatian sehingga mereka didekati serta dipujuk rayu bagi melemahkan Bersatu dan PN.
“Musuh politik hanya mendekati kita kerana mereka melihat kita sebagai ancaman kepada kuasa mereka,” katanya ketika merasmikan serentak mesyuarat agung tahunan Armada, Srikandi dan Srikandi Muda sempena Perhimpunan Agung Tahunan Kelima Bersatu 2023 hari ini.
Beliau juga berkata, Bersatu bersama PN akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap polisi serta tadbir urus Kerajaan Persekutuan di bawah PH-BN sekarang.
Menurutnya PN terus menyuarakan kepentingan rakyat bagi memastikan kelangsungan kehidupan mereka.
Sementara itu ketika bercakap kepada media, Ahmad Faizal tidak menafikan Ahli Parlimen Bersatu diarah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk memastikan mereka kekal setia dan tidak mengambil langkah bertentangan perlembagaan parti.
“Ada perkara yang saya boleh berkongsi dan ada perkara yang terikat dengan sumpah janji, jadi kita biarkan begitu sahaja,” katanya.
Sebelum ini empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan alasan mahu mendapat peruntukan.
Empat ahli Parlimen berkenaan ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dato’ Indera Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – HARAKAHDAILY 23/11/2023











