
KEMAMAN: Umno membuat petisyen terhadap keputusan PRU15 P.040 Kemaman untuk diadakan semula pengundian hanyalah semata-mata berhasrat mahu mengurangkan majoriti yang telah dimenangi PAS.
Ketua Penerangan BERSATU, Senator Dato’ Razali Idris menyelar sikap Umno itu yang disifatkannya ‘hodoh perut’ kerana hanya menyusahkan rakyat untuk menghadapi semula PRK P.040 Kemaman pada 2 Disember depan.
Lebih dikesali beliau, pada tarikh berkenaan sudah sedia dimaklumi bahawa Pantai Timur termasuk seluruh Terengganu akan berdepan musim tengkujuh yang selalunya mengakibatkan banjir berlaku.
“Dia (Umno) kata bertanding sekali ni bukan nak menang. Bertanding sekali ni cuma nak kurang majoriti. Dah bertanding buat apa? Kita kata tak payah bertandinglah. Menyusah ke rakyat. Tanding pula bulan 12 (Disember) tengah banjir.
“Orang kurang, orang susah, macam mana nak bantu orang banjir lagi, nak ambil orang kena banjir lagi. Kita ada pula pilihan raya. Rupa-rupa dia nak kurang majoriti sahaja. Inilah hodohnya perut orang Umno ni,” tempelaknya.
Perangai ‘hodoh perut’ juga dikatakannya kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang pernah berjanji memberikan 20 peratus royalti petroleum kepada Terengganu jika beliau dilantik ke jawatan itu.
“Hari ni bukan 20 peratus, 5 peratus (berdasarkan perjanjian sedia ada) pun dia tak beri. Hodohnya perut dia, janji pelawak. Apabila dia berjanji, apabila dia bercakap, dia berbohong. Apabila berjanji dia pelawak,” bidasnya.
EXCO Kerajaan Negeri dan ADUN Kijal itu mengulas demikian dalam program Ceramah Perdana Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) PRK P.040 Kemaman di Padang Astaka Cukai, di sini malam tadi.
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Senator Dato’ Ustaz Husain Awang pula berkata, walaupun ini hanya PRK dan melibatkan sudut kecil dari negeri itu, tetapi ia besar dari segi politik bahkan saiz jenteranya.
Kerana menurutnya, Umno cuba menggambarkan Kemaman telah memberi atau kembali atau pulihnya kekuatan parti itu di negeri ini, sekali gus menuntut PN menang dengan majoriti lebih besar.
Beliau juga membidas onar yang disebabkan Umno hingga berlakunya PRK tersebut di mana tuduhan sogokan melibatkan beberapa individu itu berbeza dengan majoriti besar dicapai calon PAS pada PRU15 lalu.
Tetapi Umno katanya, telah mendapat malu besar dan mahu menutup aib itu setelah mereka kalah di semua lapan Parlimen pada PRU15 dahulu dan semua 32 DUN pada PRN baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 11/11/2023












