Jangan berat sebelah isu Minggu Solidariti Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan bahawa Minggu Solidariti Palestin di sekolah secara tidak langsung mengajar keganasan terhadap anak-anak sebagai kenyataan yang sangat bahaya.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan Nga Kor Ming juga menampakkan wajah sebenar sebahagian pemimpin dalam kerajaan sekarang.

- Advertisement -

Katanya, program itu digambarkan sebagai kononnya apabila anak-anak membawa senjata mainan, itu bermakna mengajar mereka erti keganasan sedangkan ia merupakan satu kaedah untuk mengajar mereka mengenai perjuangan yang sedang ditegakkan di bumi Palestin.

“Hari ini viral pula satu posting di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) Pandamaran B pada 20 Oktober yang memaparkan murid-murid sekolah itu dipaparkan dalam ruang media sosial membawa senjata mainan.

“Saya tak nak tunjuk (video) dalam sidang media ini kerana ia membabitkan anak-anak kita. Walaupun bukan anak Melayu, tetapi paling tidak ia merupakan anak-anak yang perlu dipelihara privasi mereka,” katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, jika pihak yang terlibat dengan Minggu Solidariti Palestin dianggap sebagai ganas, bagaimana pula mereka yang membawa senjata mainan dalam bentuk adiwira komik.

“Jika itu dianggap sebagai tidak mengapa, ini merupakan pandangan yang berat sebelah,” katanya.

Sehubungan itu, PERIKATAN NASIONAL (PN) menuntut supaya guru sekolah yang terlibat dalam penganjuran Minggu Solidariti Palestin tidak dikenakan tindakan.

“Jangan sekali kali diambil tindakan. Kalau mereka dikenakan tindakan, kita akan menyatakan pendirian kita dan akan mengajak seluruh masyarakat Malaysia untuk sama-sama bersolidariti dengan pengurusan sekolah yang menganjurkan program itu,” katanya.

Media baru-baru ini, melaporkan video berdurasi 55 saat menimbulkan kontroversi apabila ada ‘adegan’ lelaki mengacu senapang mainan ke arah pelajar sambil mengetuai sekumpulan guru mengibarkan bendera Palestin di perhimpunan solidariti.

Rakaman itu menyebabkan beberapa pihak, termasuk Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula kesesuaian program itu di sekolah.

Selain PAGE, DAP turut menggesa KPM mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak yang terbabit dalam program solidariti Palestin di sebuah sekolah rendah selepas murid dan guru dilaporkan membawa senapang mainan. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -