
KUALA LUMPUR: Jalan raya yang kembali rosak selepas dibaiki menyebabkan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memantau syarikat konsesi yang melakukan kerja pembaikan jalan.
“Saya nak tahu jangka hayat setiap tampalan lubang di jalan raya yang rosak ini sebenarnya berapa lama. Saya perhatikan ketika musim hujan, sudah pasti jalan raya rosak balik dalam tempoh yang tidak begitu lama selepas dibaiki.
“Apakah SOP kementerian untuk memantau syarikat konsesi berkenaan,” katanya ketika mencelah ucapan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Alexander berkata, kementeriannya dari semasa ke semasa berusaha menambah baik SOP dan aspek teknikal bagi mengatasi isu pembaikan jalan.
“Kita tak dapat elak, musim hujan pun kita buat penampalan. Mungkin betul kalau kita buat dengan cara itu (penampalan jalan ketika hujan) mungkin tidak kekal sebab jalan basah.
“Tapi yakinlah sebab sekarang Jabatan Kerja Raya (JKR) ada teknologi dan material baharu untuk membuat penampalan jalan. Jadi kita berharap dengan cara ini dapat meningkatkan mutu pembaikan jalan,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023











