
KUALA LUMPUR: Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) memohon supaya Klinik Kesihatan Sauk di parlimennya turut dimasukkan dalam 420 buah klinik yang bakal dinaik taraf dalam Belanjawan 2024.
“Klinik ini berada dalam keadaan yang sangat daif dan mengalami kerosakan yang teruk.
“Bumbung bocor, perpaipan dan pendawaian yang uzur, ini memberi kesan terhadap kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, beliau berpandangan bahawa Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) kini tidak lagi menjadi jalan pantas ke destinasi yang ditujui.
“Perjalanan dari utara ke selatan atau sebaliknya tidak lagi menjimatkan masa kerana sepatutnya fungsi lebuh raya bagi menjimatkan masa.
“Hanya ada dua lorong di laluan antara Slim River dan Juru, serta sebaliknya menyebabkan kedua-dua arah lebuh raya sesak walaupun bukan pada waktu kemuncak,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2023.











