
SHAH ALAM: Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ke-63 di IDCC di sini diselubungi kesedihan selepas dua jam bermula, hari ini.
Semua hadirin yang berada di dalam dewan tersentuh hati dan berduka semasa dimainkan tayangan montaj mengandungi kisah penderitaan yang terpaksa dilalui kanak-kanak, wanita dan warga emas Palestin di Gaza akibat bedilan ganas rejim Zionis-Israel.
Lebih sayu montaj berlatarbelakangkan dengan lagu Atouna El Toufoule sangat sinonim dimainkan di media-media sosial bagi menceritakan kesengsaraan Palestin di Gaza yang sehingga kini dizalimi rejim Zionis-Israel.
“Lagu Atouna El Toufoule adalah rehlah yang memiliki makna ‘Beri kami masa kecil’. Ia menceritakan kepiluan anak-anak ini yang tidak dapat menikmati zaman kanak-kanak mereka seperti anak-anak kita.
“Mereka menjadi mangsa konflik di Gaza,” ujar Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam nada sedih.
Katanya kezaliman Zionis-Israel sangat rakus tanpa perikemanusiaan melakukan pengeboman di pusat perubatan dan hospital yang merawat mangsa-mangsa yang cedera.
Beliau berucap demikian bagi melancarkan tabung bantuan kemanusiaan buat Palestin.
Perang antara Israel dan Palestin dikenali Taufan al-Aqsa sejak serangan bermula pada minggu lalu adalah terburuk di Gaza berbanding konflik perang sebelum ini.
Setakat ini dilaporkan jumlah korban rakyat Palestin mencecah lebih 3,400 manakala mangsa cedera lebih 12,000 orang. – HARAKAHDAILY 19/10/2023











