Pemilihan Jawatankuasa DHPP kawasan selepas muktamar

N Balasubramaniam
- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) akan melaksanakan pemilihan Jawatankuasa Kerja khususnya di peringkat kawasan dalam tempoh dua bulan selepas muktamar PAS Pusat.

- Advertisement -

Pengerusinya, N Balasubramaniam berkata, perkara itu ditetapkan Jawatankuasa PAS Pusat.

Katanya, DHPP kawasan yang cukup syarat berpandukan aturan dan peraturan akan mula mengadakan mesyuarat agung pada Disember hadapan.

“Sebelum ini, Ketua DHPP kawasan dipilih kepimpinan PAS di peringkat kawasan, namun kali ini ahli DHPP berpeluang untuk menentukan siapa yang akan mempimpin untuk sesi akan datang.

“Jawatankuasa Pemilihan dibentuk PAS Pusat yang diketuai Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad. Jawatankuasa terbabit akan menguruskan pemilihan tersebut.

“Saya selaku Ketua DHPP Pusat amat berbesar hati dengan perkembangan itu kerana sudah tiba masanya kita melangkah ke episod baharu dalam bab pemilihan jawatankuasa DHPP,” katanya pada perasmian Konvosnyen DHPP di sini semalam.

Kewujudan DHPP bermula dengan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dilancar pada 11 Mac 2004 oleh almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

DHPP dilancar secara rasmi pada 23 Mei 2010 oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Pejabat Tanah Klang, Klang Selangor sebagai sebuah sayap baru PAS.

Dan DHPP mengadakan Konvensyen Nasional kali pertama bertema ‘Memimpin Perpaduan’ sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak.

DHPP dijenamakan semula daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS kepada Dewan Himpunan Pendukung PAS pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di Kelantan. Usia DHPP akan mencapai usia 20 tahun hadapan.

N Balasubramian juga berkata, DHPP akan lebih matang dan tersusun selepas pemilihan tersebut.

“Kita tidak dapat lari daripada menjadikan salah satu aktiviti yang perlu diutamakan berkaitan kebajikan. Bukan sahaja kepada kebajikan rakyat, malah kebajikan ahli perlu kita berikan keutamaan.

“PAS mewujudkan SkimPAS iaitu skim bagi membantu ahli yang ditimpa kemalangan atau kematian atau kehilangan upaya yang diurus Lajnah Kebajikan PAS.

“Ini adalah sebagai salah satu usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh PAS untuk menyantuni ahli,” ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau bukan semua ahli berkemampuan untuk membuat pembayaran yuran dan berupaya mengharungi kehidupan seharian.

Oleh itu katanya sempena konvensyen DHPP Pusat dicadangkan supaya DHPP menubuh sebuah yayasan yang dipantau oleh PAS Pusat dan DHPP Pusat pada sesi akan datang.

Menurutnya juga DHPP merupakan sayap PAS yang dikhususkan untuk mendekati masyarakat bukan Islam di Malaysia.

“Tiada ertinya jika DHPP yang dijenamakan daripada penyokong kepada pendukung tetapi kita tidak mampu untuk membuktikan peranan kita sebagai pendukung seperti mana yang diharapkan PAS.

“DHPP mesti mendukung visi, misi dan dasar perjuangan PAS. Untuk mendukungnya sudah tentu memerlukan kita untuk benar-benar memahami perjuangan PAS.

“Perkukuhkan kefahaman terhadap perjuangan PAS yang bergerak dengan meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya. – HARAKAHDAILY 16/10/2023

- Advertisement -