
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran agar merancakkan usaha penanaman kopi secara besar-besaran bagi mengambil peluang ‘trend’ meminum kopi dalam masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan anak muda pada masa ini.
Menurut Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu), usaha itu juga dapat mempelbagaikan lagi jenis tanaman yang boleh diceburi para petani dan peladang selain mengurangkan kopi import.
“Kalau kita melihat mood anak muda hari ini mereka lebih suka merewang di kedai-kedai kopi dan sebagainya.
“Dan kalau kita lihat penggunaan kopi di negara kita telah meningkat dengan begitu tinggi, sebanyak 73 peratus kalau kita banding pada empat, lima tahun yang lalu,” ujarnya semasa pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Jelas beliau terdapat tiga jenis biji kopi iaitu Arabica, Robusta dan juga Liberica dengan Malaysia sebenarnya masih lagi bergantung pada kopi Liberica yang biasanya ditanam di Johor dan di Sabah.
Tambah Bakri, syarikat pengeluar kopi jenama Nescafe telah mempunyai projek khas iaitu projek ‘Kopi Kedah’ dan menubuhkan pusat penyelidikannya di Sik untuk mengangkat imej Kopi Kedah.
Beliau dalam soalan tambahannya menyarankan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melihat perkara itu sebagai potensi yang besar untuk para petani menceburi tanaman tersebut.
“Dan kalau kita lihat bahawa negara kita masih lagi mengimport sekitar 55 peratus Kopi Robusta daripada Brazil, Vietnam dan sebagainya.
“Dan saya rasa kalau kita fokus kepada Kopi Robusta yang sangat sesuai di Kedah, sebenarnya kita boleh mengurangkan import.
‘Dan kita boleh menolong sebenarnya petani-petani tempatan khususnya di negeri Kedah dan juga Johor untuk Kopi Liberika,” ujarnya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semasa menjawab soalan tambahan Bakri mengakui wujudnya trend meminum kopi dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama anak muda.
Beliau turut bersetuju dengan saranan agar usaha penanaman kopi diperhebatkan lagi bagi mengambil peluang dari trend ini.
“Tentang penanaman kopi di Kedah memang di Sik dan di Baling itu di antara kawasan yang agak sesuai dengan penanaman kopi.
“Dengan tawaran kepada kopi sekarang meningkat dan kita galakkan mana-mana yang hendak diusahakan. Dan kementerian ini akan memberi kerjasama mengikut spesifik tempat itu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023











