
SAYA dijemput menyertai lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan ke kilang Lynas di Gebeng pagi tadi yang diketuai oleh Pengerusinya, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan disertai oleh enam ahli jawatankuasa yang merupakan Ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti.
Turut hadir, para pegawai Parlimen di bahagian-bahagian berkaitan yang diketuai oleh YBhg Datuk Haji Muhammad Zamani Mohd Ali, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia.
Lawatan ini bertujuan mendapatkan maklumat secara umum berkaitan potensi pembangunan industri bahan nadir bumi (REE) di negara ini selain mendapatkan maklumat kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh Lynas.
Dato Sri Mashal Ahmad, Naib Presiden Lynas Malaysia meluangkan masa hampir setengah hari memberikan penerangan dan jawapan berkaitan pelbagai perkara dan aspek.
Menurut YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim, hasil lawatan ini akan didokumenkan dan akan dikemukakan kepada pihak kerajaan.
Ini termasuk pelbagai perkara berkaitan perundangan, potensi ekonomi, teknikal dan alam sekitar.
Saya pernah memberikan pendapat sebelum ini berkaitan potensi industri REE di negara ini dan bagaimana kepakaran dan pengalaman Lynas boleh dimanfaatkan.
Baca:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=786395763493092&id=100063680255326&mibextid=Nif5oz
Begitu juga pendirian saya berkaitan perlesenan operasi Lynas di Gebeng yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan supaya dapatan data sains dan ekonomi tidak diketepikan.
Baca:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=649325407200129&id=100063680255326&mibextid=Nif5oz
Sehubungan dengan itu, saya ulangi saranan kepada kerajaan untuk mempertimbang semula arahan penutupan salah sebuah fasiliti di Lynas.
Saya yakin negara kita mampu membangunkan industri REE sebagai satu industri baharu berimpak tinggi serta mendapat pulangan yang lumayan.
YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 4/10/2023












