
KOTA BHARU: Lajnah Dakwah PAS Pusat akan mengadakan tazkirah selama lapan jam tanpa henti sempena kempen Bulan Dakwah sebagai meraikan sambutan bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Pengerusinya, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, seramai 13 pentausiah bakal ditampilkan bagi mengupas pelbagai tajuk mengenai keperibadian dan akhlak baginda.
Katanya, program yang bermula esok bakal berlangsung dari 9 pagi sehingga 10 malam secara atas talian dalam facebook Lajnah Dakwah PAS Pusat.
“Program esok daripada pagi kita mula sampai non stop, kita berhenti rehat untuk sembahyang dan makan sahaja, kemudian selebihnya kita mendengar tausiah pelbagai topik.
“Sepanjang bulan Rabiuawal ini kita sasaran 50 program paling minima di seluruh negara,” katanya pada kenyataan di laman media sosialnya hari ini.
Nasruddin yang juga bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata, pelancaran kempen Bulan Dakwah akan disempurnakan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Tuan Guru Zulkifli Ismail pada 30 September ini.
Majlis yang diadakan di Dewan Dato Fadzil Mod Noor di Taman Melewar akan menampilkan Bro Shah Kirit, Ustazah Asma Harun dan Senator Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.
Beliau juga berkata, pihaknya komited untuk meneruskan program dakwah seperti dilaksanakan sebelum ini antaranya dakwah jalanan dan bicara dakwah kepada golongan sasaran.
“Program bulan dakwah ini adalah usaha kita memacu gerakan dakwah. Lajnah Dakwah PAS Pusat melaksanakan banyak aktiviti dakwah sepanjang tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2023











