Maklum balas isu audit Akademi Yakin berstatus selesai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Audit Negara pada 25 Januari 2023 berpuas hati dengan tindakan yang diambil Akademi Yakin Sdn Bhd menerusi maklum balas yang diberi berkaitan isu audit seperti yang dipapar dalam Auditor General’s Dashboard (AGD).

- Advertisement -

Ketua Pegawai Esekutif Akademi Yakin Sdn Bhd Zamri Ibrahim berkata, isu berkenaan sekarang berstatus selesai (hijau).

“Pihak Audit Negara merakam ucapan terima kasih di atas kerjasama dan komitmen berterusan yang diberi Akademik Yakin Sdn Bhd bagi mengambil tindakan menyelesaikan isu audit dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1,” katanya pada kenyataan hari ini.

Laporan sebuah portal berita pro-Pakatan Harapan mendakwa Laporan Ketua Audit Negara 2020 mendedahkan Akademik Yakin Sdn Bhd terlibat dalam enam projek perlombongan emas.

Zamri berkata, laporan portal terbabit adalah tidak tepat kerana mengikut LKAN 2020 projek perlombongan yang dimaksudkan tersebut berada dalam peringkat perbincangan.

Menurutnya hanya DAZR Holding Sdn Bhd sahaja mempunyai lesen pajakan.

Begitu juga katanya laporan portal terbabit yang mendakwa Akakademi Yakin belum menandatangani perjanjian kerjasama rasmi dengan DAZR Holding dan kedua-dua berada di peringkat akhir untuk menyediakan perjanjian sambil menunggu kelulusan Laporan Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Laporan tersebut juga tidak tepat kerana Akademi Yakin Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian penyerahan hak melombong pada 4 Januari 2023,” ujarnya.

Portal tersebut juga menyatakan Akademi Yakin Sdn Bhd menerima notis bertarikh 2 Disember 2021 daripada PTG mengenai kesalahan kerana menjalankan kerja berkaitan perlombongan di tapak pajakan walau pun permohonan EIA belum diluluskan.

Zamri berkata, notis PTG tersebut memaklumkan kes itu diserah kepada Bahagian Pendakwaan PTG bagi siastan di bawah Seksyen 159 Enakmen Mineral 2001 dan Akademi Yakin Sdn Bhd diberi arahan henti kerja bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Bagaimanapun kata beliau notis bertarikh 2 Disember 2021 tersebut telah terbatal sebagaimana surat PTG bertarikh 14 Disember 2022.

“Malah laporan EIA projek perlombongan emas Jentiang sudah tersedia untuk tatapan umum di laman web JAS dan orang ramai boleh memberi maklum balas,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2023

- Advertisement -