Makan duku sakit urat

- Advertisement -

LANSIUM Domesticum, adalah nama saintifik buah duku. Orang tua-tua selalu pesan kalau makan buah duku akan menyebabkan sakit urat, medu (gastrik) dan lemah tubuh badan. Jadi makan pun mesti berpada-padalah, jangan terlalu banyak.

Beberapa khasiat yang telah pun dikaji secara kajian makmal antaranya adalah anti Oksidan, anti penuaan dan pembantu untuk menyembuh luka.

Khasiat itu terbentuk kerana kehadiran Phenolic dan bahan Flavonoid dalam buah duku. Tetapi tidak bermakna bahawa buah duku itu diangkat sebagai ubat untuk merawat luka ataupun melawat. Terdapat juga beberapa kerja yang lain bahawa buah duku itu mempunyai khasiat antimalarial, antibakteria, antiserangga kerana kehadiran bahan Terpenoids dan Phytokimia dalam buah Duku tersebut.

Begitu juga dengan kajian yang mendapati bahawa buah duku itu adalah satu bahan Cytotoxic ataupun boleh mencegah sel bermutasi akhirnya pencetus kanser kerana kehadiran Lansium Acid. Secara naturalnya buah duku mengandungi banyak vitamin, mineral karbohidrat, protein dan lemak.

Namun segala dakwaan di atas tidaklah boleh dijadikan sebagai satu asas untuk mendakwa bahawa buah duku itu mampu merawat penyakit manusia seperti mana ubat-ubatan yang terdapat di dalam sistem perubatan seperti boleh menggantikan ubat kanser, ubat antibiotik, antivirus atau seumpamanya. Ini kerana kajian yang dijalankan masih belum lengkap dan tidak sempurna dari sudut kajian perubatan yang menyeluruh. Terdapat banyak lagi kaedah dan protokol lain yang perlu diambil kira dalam menentusahkan sesuatu bahan itu dikira sebagai ubat.

Pesanan orang tua-tua makan buah duku itu memberi kesan pada tubuh itu ada benarnya. Buah duku akan mengeluarkan gas, mengandungi gula fruktosa dan asid organik yang akan menyebabkan angin dalam perut serta meningkatkan asid urik. Kepada mereka yang sudah ada gastrik dan penyakit gout akan lebih sensitif selepas makan buah duku. Keadaan inilah menyebabkan tubuh akan merasakan lemah, namun ianya bersifat sementara.

Bagi segelintir orang, alahan dengan buah duku sehingga menyebabkan ruam kulit, bengkak dan kesukaran bernafas. Lansium Domesticum mengandungi Alergen yang akan merangsang sistem imun bagi mengeluarkan Histamin dan bahan radang lain lagi.

Begitu juga bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik yang lain dinasihatkan tidak makan buah duku dalam jumlah yang banyak kerana ia boleh mendatangkan mudarat.

Menyebabkan risiko diabetes tidak terkawal, kerana buah duku mengandung gula (25 peratus). Pecahan jenis gula (dari 100 gram) adalah:

– Fruktosa: 6.8 gram (42.5 peratus dari total gula).
– Glukosa: 5.3 gram (33.1 peratus dari total gula).
– Sukrosa: 3.6 gram (22.5 peratus dari total gula).
– Gula lain: 0.2 gram (1.3 peratus dari total gula).

Buah duku juga tinggi Kalium (149 mg), yang dapat mempengaruhi irama jantung dan menyebabkan Aritmia. Bagi pesakit buah pinggang, dinasihatkan tidak memakannya dalam jumlah yang banyak.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 27/9/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -