
BENTONG: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, Cikgu Kasim Samat, 62, menganggap kemenangan agak bergaya Barisan Nasional (BN) di Dun terbabit pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas tidak menghalangnya meneruskan cabaran kali kedua.
Katanya beliau tidak putus semangat biarpun tidak berjaya pada PRU lepas.
Menurutnya situasi yang berlaku pada PRU ke-15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sekarang berbeza kerana hampir semua pemimpin PAS dan PN turun padang membantu gerak kerja kempen calon PN.
“Tumpuan saya sekarang kempen secara fizikal dengan menemui pengundi dari rumah ke rumah. Itu pendekatan lebih baik berbanding dengan ceramah besar.
“Kalau program ceramah bukan ahli PAS malu hendak datang. Apabila kita datang ke rumah mereka banyak cerita yang dikongsikan termasuk isu kos sara hidup sekarang.
“Mereka juga menyatakan tidak puas kepimpinan YB beberapa penggal sebelum ini, banyak janji yang tidak tertunai. Intenet sering terputus, jalan bengkang bengok,” katanya ketika ditemui selepas ceramah perdana di Dataran Purnama, Simpang Pelangai malam tadi.
Menurutnya juga penduduk Dun Pelangai lebih senang ke Negeri Sembilan bagi menyelesaikan urusan mereka berbanding ke Bentong kerana jalan bengkang bengkok.
Sedangkan kata beliau di Bentong terdapat pelbagai pejabat kerajaan.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan di mana tanah-tanah yang begitu luas di Pelangai termasuk projek ladang Musang King dipercayai terlepas ke tangan bukan penduduk tempatan.
Katanya tanah-tanah tersebut mudah terlepas ke tangan pihak lain, sedangkan penduduk memohon tanah kerajaan tidak diendahkan.
Menurutnya juga berdasar culaan yang dilakukan sehingga sekarang, peluang begitu cerah bagi PN untuk memenangi PRK tersebut.
Ditanya mengenai moto kempen pada PRK terbabit katanya pada PRU lepas ‘Pelangaiku Sayang, namun pada kali ini diubah kepada ‘Cikgu di Hati Pelangai’.
“Apa lagi di Pelangai ramai anak-anak murid saya. Saya yakin mereka juga akan bantu saya pada PRK kali ini,” ujarnya.
Beliau juga memberitahu dengan adanya mandat rakyat nanti tumpuan utamanya melahirkan masyarakat di Dun Pelangai yang celik al Quran.
Kata beliau usaha juga akan dilakukan bagi mewujudkan pusat kemahiran untuk anak-anak peneroka dan penduduk tempatan di Pelangai, memandangkan sekarang mereka terpaksa menimba kemahiran di luar daerah. – HARAKAHDAILY 24/9/2023











