PASTI di Sabah mula diwujudkan pada 1986

Pengusaha PASTI bukan semata-mata berlandaskan keuntungan bisnes. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

TAWAU: Sejarah penubuhan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Sabah bermula pada tahun 1986 apabila PASTI pertama ditubuhkan di Tawau.           

- Advertisement -

Pada sekitar tahun 80-an pusat pendidikan Islam agak sukar ditemui.

Atas kesedaran ahli jemaah PAS pada ketika itu yang datang dari Semenanjung maka inisiatif menubuhkan PASTI yang pertama bertempat di Jalan Kuhara, Tawau iaitu PASTI Nurul Hannani. 

Pada peringkat awal penubuhan, hanya anak-anak penggerak dan ahli jemaah saja belajar di PASTI yang terdapat 35 pelajar dengan dua orang guru.

Pendukung dan penyokong PAS pada ketika itu bekerja keras dan bertungkus lumus mengurus dan mempromosikan PASTI kepada masyarakat. Antaranya ialah Mohammad Hussain, cikgu Muhammad Nasir Che Ali yang kini merupakan Yang Dipertua dan timbalan PAS Tawau.  

Cabaran dan dugaan dihadapi oleh perintis PASTI sememangnya terlalu banyak.

Namun kini usaha itu mendapat hasil yang sangat memberangsangkan apabila saban tahun PASTI di negeri Sabah kian bertambah di kawasan lain kerana permintaan daripada masyarakat yang semakin tinggi dengan kesedaran tentang kepentingan pembelajaran tentang Islam semakin meluas.

Menjadi kebanggaan juga apabila ramai alumni PASTI yang kini memegang jawatan dalan kepimpinan PAS Sabah sama ada dalam dewan-dewan, kawasan, negeri termasuk pusat.

Jabatan PASTI Negeri Sabah beberapa kali menerima anugerah pengurusan terbaik di peringkat PASTI Malaysia melalui pengurusan yang berpusat di Tawau.

Pencapaian awal tahun 2023 kini terdapat 125 buah PASTI telah beroperasi di negeri ini dengan jumlah pelajar sebanyak 7,481 orang manakala jumlah guru pula adalah 399 orang.

Pengarah Jabatan PASTI Negeri Sabah yang pertama ialah Hashan Aladi Ahmad, Ghazali Daud (kedua), Ustaz Anwar Ali (ketiga), Yakari Sulung (keempat), Lahirul Latigu (kelima), Karim Dullah (sekarang).

Antara PASTI yang terawal ditubuhkan di Sabah ialah PASTI Nurul Hannani Jalan Kuhara Tawau yang ditubuhkan pada 1986, PASTI Nurul Iman Tanjung Batu Tawau (1989), PASTI Saidina Abu Bakar Asisidiq Sandakan (1989), PASTI Al Iman Tuaran (1990), PASTI Nurul Huda Pasir Putih Tawau (1992), PASTI Nurul Mawaddah Taman Ria Tawau (1994), PASTI Nurul Falah Titingan Tawau (1994), PASTI Nurul Ain Batu 2 Tawau (1996) dan PASTI Bestari Gador Sipitang (1996). – HARAKAHDAILY 20/9/2023

- Advertisement -