
MUAR: Sambutan masyarakat setempat kepada aktiviti yang dilaksanakan oleh PERIKATAN NASIONAL sepanjang tempoh berkempen memberi kelebihan kepada kepada Dr Mazri Yahya.
Di samping itu, kesedaran rakyat terhadap isu yang sedang berlaku dalam negara termasuk kegagalan kerajaan PH-BN dalam menangani kemelut hidup rakyat turut memberi impak yang positif kepada Dr Mazri yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram.
Pengarah Pilihan raya PAS Negeri Johor, Rusman Kemin berkata, selain itu DR Mazri juga telah dikenali menjaga pesakit, aktiviti kebajikan dan kesihatan kepada rakyat di DUN Simpang Jeram.
Katanya, penduduk setempat juga melahirkan keyakinan Dr Mazri mampu menyuarakan permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat termasuk peningkatan kos sara hidup.
“Melalui aktiviti kempen kita dapati masyarakat yang dengan kemampuan Dr Mazri dalam menyuarakan suara hati rakyat sekiranya mendapat mandate pada PRK kali ini,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, penonjolan pakar bedah vascular itu yang digabungkan dengan keyakinan kepada parti memberi impak sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL pada PRK DUN Simpang Jeram.
“Sokongan kepada calon kita daripada wakil-wakil rakyat di enam negeri yang memenangi PRN baru-baru ini turut membantu aktiviti kempen kita di sini melalui perkongsian program yang telah dilaksanakan di kawasan masing-masing sehingga mereka memperolehi kemenangan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, pendekatan yang digunakan di kawasan mereka yang memenangi PRN itu dapat diaplikasi dalam kempen di DUN Simpang Jeram yang memberikan suntikan semangat kepada para petugas dan tarikan kepada sokongan pengundi.
Tambahnya, petanda sokongan rakyat juga jelas kelihatan pada aktiviti ceramah yang diadakan yang mendapat sambutan luar biasa sehingga hadirin melimpah ke jalan raya berbanding pilihan raya sebelum ini termasuk PRN Johor pada 12 Mac 2022 lalu.
“Ceramah PERIAKATAN NASIONAL mendapat sambutan antaranya yang melibatkan penceramah dari kalangan wakil rakyat yang menang enam negeri dan parlimen yang menceritakan suasana berlaku di negeri mereka.
“Kesedaran pengundi di tempat mereka yang menyokong PERIKATAN NASIONAL dapat dikongsi oleh pengundi di Simpang Jeram,” ujarnya yang Pengarah Operasi PRK Simpang Jeram.
Beliau turut mengingatkan kepada para pengundi supaya tidak terpedaya dengan kempen negatif seperti sogokan wang, ugutan dan seumpamanya.
“Kita menyeru mereka menggunakan kebijaksanaan mengikut aras demokrasi kerana undi adalah rahsia dan jangan takut dengan ugutan yang tak mampu ubah pendirian untuk buat pilihan sendiri.
“Keluar mengundi esok, 9 September dan jangan terpedaya dengan elemen negatif. Pengundi Bangsa Johor ada jati diri,” katanya.
Rusman turut berharap peratus keluar mengundi esok dapat memecah rekod PRN, PRU15 dan PRN di enam negeri baru-baru.
“Saya harap jumlah yang keluar mengundi lebih 80 peratus, SPR juga jangka peratusan keluar mengundi lebih 70 peratus,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/9/2023











