
NIAMEY: Junta pemerintah Niger mengarahkan polis mengusir duta Perancis, langkah yang menandakan kemerosotan perhubungan kedua-dua negara, manakala pihak berkuasa di Paris mendakwa pegawai tentera yang merampas kuasa bulan lepas tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.
Pemimpin rampasan kuasa itu mengikut strategi junta di negara jiran, Mali dan Burkina Faso, menjauhkan diri daripada bekas kuasa penjajah di rantau itu di tengah-tengah gelombang sentimen anti-Perancis.
Visa Duta Perancis, Sylvain Itte dan keluarganya dibatalkan dan polis diarahkan untuk mengusir duta berkenaan, kata junta dalam satu kenyataan bertarikh 29 Ogos dan disahkan sebagai sahih oleh ketua komunikasinya, semalam.
Junta yang melakukan rampasan kuasa Jumaat lalu, mengarahkan Itte meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam sebagai tindak balas terhadap apa yang mereka panggil tindakan Perancis “bertentangan dengan kepentingan Niger”.
Ini termasuk keengganan duta berkenaan untuk menjawab jemputan bertemu menteri luar Niger yang baharu.
Rampasan kuasa itu dikutuk oleh pihak berkuasa serantau Afrika dan negara-negara Barat. Badan serantau Afrika Barat, ECOWAS mengenakan sekatan ke atas Niger yang menghalang penghantaran makanan dan bantuan kepada antara negara termiskin di dunia.
Blok itu juga mengancam untuk campur tangan secara ketenteraan jika usaha diplomatik untuk memulihkan demokrasi melalui dialog gagal.
Semalam, Menteri luar Kesatuan Eropah bersetuju untuk mula merangka sekatan terhadap individu di belakang rampasan kuasa itu.
Presiden Nigeria, Bola Tinubu, yang juga pengerusi semasa ECOWAS, semalam berkata, rampasan kuasa membabitkan tentera di Gabon minggu ini mengesahkan kebimbangannya kejadian itu akan ditiru di negara lain.
Beliau mengulangi pendiriannya bahawa campur tangan tentera harus menjadi pilihan terakhir di Niger, tetapi berkata “jika kita tidak menggunakan kayu besar, kita semua akan mengalami akibatnya bersama-sama”.
Perancis menggesa Presiden Niger yang digulingkan, Mohamed Bazoum dikembalikan ke jawatannya dan akan menyokong usaha ECOWAS untuk menghentikan rampasan kuasa.
Paris tidak secara rasmi mengiktiraf keputusan junta untuk membatalkan perjanjian ketenteraan dua hala, mengatakan ini telah ditandatangani dengan “pihak berkuasa sah” Niger.
Begitu juga, Kementerian Luar Perancis berkata bahawa pemimpin rampasan kuasa itu tidak mempunyai kuasa untuk meminta duta itu keluar, sambil menambah bahawa ia “sentiasa menilai keselamatan dan keadaan operasi kedutaan kami”.
Presiden Emmanuel Macron berkata Isnin lalu, duta itu akan tinggal di Niger dan mengulangi sokongan Perancis terhadap Bazoum. – REUTERS











