
PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) adalah satu-satunya parti politik di Malaysia yang akidah perjuangannya ialah ketauhidan kepada Allah SWT penerusan risalah Rasulullah SAW.
PAS sentiasa bepegang teguh dengan prinsip perjuangan. Apa yang dituduh ‘takfiri’ itu sebenarnyalah satu pendidikan kepada masyarakat tentang batas-batas iman dan kufur, bukan mengkafirkan umat Islam. Tetapi salah satu ilmu akidah iaitu perkara-perkara yang membatalkan syahadah. Itu yang diajar oleh para alim ulama supaya kita menjaga akidah.
Beruntungnya umat Islam di negara ini ada PAS sentiasa memberikan ilmu mendidik masyarakat untuk menjaga batasan akidah mereka. Allah menzahirkan pemimpin tepat pada masa dan ketikanya.
Perjuangan PAS tidak pernah surut ke belakang malah sentiasa dinamik seperti dinamiknya Islam itu sendiri yang menjadi Dasar PAS termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan.
Ternyata tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Wanita PAN tersebut menyaksikan suatu ketakutan yang melampau kepada pemimpin utama gerakan Islam.
Keputusan PRN di enam negeri membuktikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap PERIKATAN NASIONAL, amat menggerunkan Pakatan Harapan. Justeru tohmahan tidak berasas dilontarkan serta terangkum membela DAP dengan terburainya Pakatan Rakyat sedangkan Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS telah menyatakan secara jelas pengkhianatan DAP dalam tahaluf yang dimeterai bersama.
Lagi banyak tuduhan liar terhadap pembangkang bermakna lagi dayus kepimpinan kerajaan PH sekarang.
Kerajaan sewajarnya mengeluarkan idea idea bernas, pelan pembangunan negara yang holistik merangkumi pembangunan fizikal, mental, emosi dan spiritual, formula-formula berdasarkan fakta bagi membela nasib rakyat yang memberi mandat kepada mereka.
Kerajaan Pakatan Harapan ternyata ketandusan budi fikir. Segala janji yang acap kali dilaung-laungkan adalah bohong belaka serta hilang segala ketertanggungjawaban sebagai sebuah kerajaan.
Alhamdulillah, rakyat sudah bijak menilai. Kebangkitan kemaraan ‘gelombang rakyat’ telah bertukar menjadi tsunami.
Lebih menggerunkan mereka lagi adalah tsunami ini digerakkan oleh anak muda yang bakal menjadi pemimpin serta bakal mewarisi bumi Malaysia tercinta ini.
HAJAH KINTAN MAN
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 31/8/2023











