Merdeka: Sayangi negara, cintai agama

Dr Najihatussalehah Ahmad
- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan.

- Advertisement -

Sesungguhnya sebagai warga negara Malaysia, kita mesti bersama memelihara kedaulatan negara termasuk memastikan setiap inci bumi ini terjaga dan tidak diserahkan kepada orang lain.

Memiliki jiwa yang menyayangi negara harus ditanam dalam diri setiap warganegara ini sejak kecil.

Jangan biarkan negara kita dicemari dengan budaya asing yang mencemarkan.

Kita tegakkan Ruku Negara dalam kehidupan untuk mengekalkan jati diri seorang rakyat Malaysia.

Kami percaya setiap warga negara Malaysia sudah tentu mementingkan kestabilan dan keharmonian negara.

Memelihara kejatian sesebuah bangsa bukan bermakna mencari perbalahan dengan bangsa lain.

Sikap hormat menghormati dan bertoleransi antara sesama bangsa di Malaysia sentiasa dikagumi oleh negara luar.

Sikap inilah yang harus dikekalkan demi memastikan kestabilan negara. Kita harus akui, negara kita dihuni oleh pelbagai bangsa dan etnik.

Meskipun begitu, Islam harus tetap dijunjung tinggi. Sikap toleransi tidak termasuk perkara yang diharamkan agama.

Umat Islam mesti berpegang kepada hukum yang jelas dan jangan mudah dipermainkan begitu sahaja. Perkara yang perlu penegasan perlu dipertegaskan.

Demi memastikan Islam didaulatkan, umat Islam di negara ini mesti bersama bersatu dan bekerjasama. Dengan penyatuan ummah, Islam akan dapat dikembalikan ke tempat yang tertinggi.

Sesungguhnya mencintai negara merupakan salah satu sunnah Nabi. Ini adalah kerana sebuah negara yang baik adalah tempat buat Islam bernaung dengan aman dan sejahtera.

Ketika Rasulullah SAW hendak berhijrah ke Madinah dari Mekah, Rasulullah menoleh kembali ke Mekah sambil mengungkapkan (maksudnya): “Demi Allah engkau (yakni Mekah) adalah sebaik-baik tanah, dan tanah yang paling dicintai Allah SWT. Seandainya aku tidak diusir keluar dari engkau, nescaya aku tidak akan keluar”.

Ini menunjukkan rasa cinta Rasulullah SAW yang tidak berbelah bahagi terhadap negeri kelahiran baginda. 

Oleh itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru semua umat Islam dan rakyat Malaysia bersama bersatu menegakkan kedaulatan bumi ini dan menjunjung Islam di tempat yang tertinggi.

DR. NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia
ADUN Bota – HARAKAHDAILY 30/8/2023

- Advertisement -