
PARIS: Perancis mengeluarkan “amaran merah” di empat wilayah selatan ketika cuaca panas melampau, dengan suhu dijangka memuncak pada 41 darjah Celsius di lembah Rhone.
Amaran itu yang paling serius di Perancis, membenarkan pihak berkuasa tempatan membatalkan acara sukan atau kebudayaan dan menutup kemudahan awam jika perlu.
Kawasan yang menjadi sasaran amaran itu, yang berkuat kuasa pada jam 4 petang waktu tempatan ialah Rhone, Drome, Ardeche dan Haute-Loire, kata Meteorologi Perancis.
Ini adalah kali keenam perkhidmatan Meteorologi Perancis mencetuskan amaran merah, sebahagian daripada program kerajaan untuk melindungi penduduk ketika tempoh cuaca ekstrem dan kejadian pertama seumpama itu tahun ini.
“Kami bersedia untuk kejadian seperti ini. Kami hanya meningkatkan tahap pencegahan,” kata Menteri Kesihatan, Aurelien Rousseau kepada pemberita. “Mesej kami kepada penduduk adalah kewaspadaan maksimum.”
Pada tahap ini, hospital Perancis tidak menyaksikan “sebarang peningkatan yang sangat besar” dalam bilangan orang yang mendapatkan rawatan kecemasan untuk penyakit berkaitan haba, katanya.
Semalam, Meteorologi Perancis mengeluarkan amaran jingga untuk separuh daripada wilayah negara itu, menyatakan suhu akan mencapai antara 35 dan 38 C di kebanyakan kawasan yang terjejas. Suhu 41 Celsius dijangka berlaku di barat daya dan di lembah Rhone.
Suhu dijangka meningkat antara 40 dan 42 Celsius pada petang hari ini di selatan Ardeche, Drome, Vaucluse dan Gard, kata Meteorologi Perancis.
Sementara itu syarikat tenaga Perancis, EDF memberitahu lanjutan tempoh gangguan pada reaktor nuklear 1.3 gigawatt Golfech 2 di barat daya Perancis semalam kerana air sungai yang digunakan untuk menyejukkan reaktor telah melepasi suhu maksimum akibat gelombang haba.
Beberapa isu teknikal di reaktor itu juga menjadi punca penangguhan pengoperasian semula kepada 25 Ogos, kata jurucakap EDF. Reaktor itu tidak beroperasi sejak 27 Mac dan dijadualkan dimulakan semula pada Ahad ini.
Paras suhu air untuk tujuan penyejukan di loji Bugey dan satu lagi reaktor di sepanjang sungai Rhone di tenggara juga dilihat melebihi panduan kerajaan menjelang 24 Ogos. EDF sebelum ini telah mengumumkan amaran pengeluaran di loji Bugey. – REUTERS











