PR6N: Tasawwur dan reaksi

- Advertisement -

GENAP seminggu Pilihan Raya 6 Negeri (PR6N) melabuhkan tirai. Sedikit sebanyak beberapa pemerhatian telah dibuat. Artikel ini bersifat separa-ilmiah, sesuai untuk sebaran media sosial. Selamat menjamu akal:

Latar belakang

1. Dwipartisan.

Kali terakhir negara berdepan dengan Pilihan Raya Umum secara dua parti besar adalah pada PRU13 (2013). Ketika itu pertembungan antara BN vs Pakatan Rakyat (PR). PR dianggotai PAS PKR dan DAP sebagai parti teras.

Setelah sedekad, PR6N menjadi medan pertama sistem tersebut kembali dengan koalisi berbeza. BN bersama PH manakala PAS bersama BERSATU.

2. Islamis+Nasionalis VS Liberalis+Sosialis+Sekularis+Nasionalis.

Gabungan PAS+BERSATU bukan sesuatu yang pelik. Menjadi perkara biasa bagi mana-mana gerakan Islam di serata dunia bertahalluf dengan parti nasionalis. Ini juga berlaku di Turki, Tunisia, Indonesia, Thailand dan lain-lain.

Apa yang pelik adalah gabungan PH-BN kerana tonggak kedua parti tersebut dari kutub berbeza. DAP adalah parti sosialis yang juga memperjuangkan Malaysia yang sekular. Mereka membawa aspirasi Malaysian Malaysia gagasan PAP Singapura, iaitu penjenamaan semula Malayan Union gagasan British.

Umno pula adalah Far Right Nasionalist. Perjuangan Melayu mereka agak ekstrem sebelum bergabung dengan PH. Mereka adalah pertubuhan yang wujud kerana protes terhadap Malayan Union sebelum merdeka.

3. Umno parti kecil.

Gabungan PH-BN adalah hasil keputusan PRU 15 (2022). BN merupakan parti kecil dalam gabungan ini kerana menyumbang hanya 30 kerusi Parlimen berbanding 82 PH.

Umno pula hanya 26 kerusi; paling kecil dalam sejarah mereka. Kalau sebelum ini, merekalah abang besar dalam mana-mana gabungan.

4. Pembahagian kerusi.

Pembahagian kerusi berlaku secara smooth di pihak PN. Walaupun ada ketidakpuashatian akar umbi, perkara itu diselesaikan dengan baik sehingga tidak memberi kesan kepada keputusan PR6N.

Berbeza dengan PH-BN, sikap Umno yang tak sedar diri sebagai parti kecil merumitkan pembahagian. Pergaduhan sampai di peringkat kepimpinan negeri. Umno masih ingat dia abang besar.

5. Pertambahan pengundi Melayu.

Sebanyak 245 kerusi DUN dipertandingkan. Hasil undi auto dan Undi18, komposisi pengundi memperlihatkan pertambahan pengundi Melayu yang ketara di seluruh negara.

6. Pengundi muda.

Daripada 245 kerusi, 173  kerusi memiliki lebih 50 peratus pengundi berusia 18-40 tahun ke atas. Kebanyakannya di Kelantan, Terengganu dan Negeri 9 terutama di kawasan tinggi Melayu. Biasalah, orang Melayu ramai anak.

Paling tinggi adalah DUN Bagan Pinang (67 peratus). Paling rendah pula Padang Kota (20 peratus). Penang adalah negeri dengan peratus pengundi muda terendah.

7. Kuku besi.

Pelbagai undang-undang baru wujud pada PR6N kali ini. Bermula daripada tidak boleh memberi sebarang bentuk sumbangan hatta daripada pihak kerajaan, sehinggalah larangan flashmob dan perarakan.

Apa yang pelik, kerajaan tanpa segan silu melakukan roadshow di negeri-negeri PR6N dan menawarkan berbagai gula-gula dalam tempoh berkempen. Semua ini adalah tindakan tidak berintegriti dan tidak fair play.

Analisis keputusan

1. Prestasi PH-BN drop.

PN mencatatkan kemenangan bergaya di seluruh 6 negeri. Sapu bersih di Terengganu, saguhati untuk PH-BN di Kelantan (2 kerusi) dan Kedah (3 kerusi), serta pertambahan kerusi lebih 200 peratus Penang, Negeri Sembilan dan Selangor.

PH-BN mengalami kekalahan teruk. PKR dan PAN hilang banyak kerusi. BN tinggal 19 kerusi. Cuma DAP agak stabil.

3. DAP abang besar.

Di kem PH, DAP adalah pemenang sebenar. Mereka tak kisah kerusi rakan sekutu yang teruk. Mereka kekal dominan di Penang, dan kini berjaya rampas dominasi PKR di Selangor. Paling membanggakan mereka adalah berjaya menambah wakil rakyat bukan-Melayu di seluruh negara.

4. Undian matang.

Undian boleh dikatakan matang apabila faktor peribadi calon tidak banyak menyumbang kepada undi. Faktor parti dan prestasi masih mendominasi. Faktor calon muda, tampan, jelita tidak begitu mempengaruhi. Menunjukkan Undi18 tidaklah sementah yang dituduh kem PH-BN.

5. #Undi18 konsisten.

Momentum kebangkitan anak muda pada PRU15 semakin berkembang pada PR6N. Dengan pertambahan ramai lagi anak muda, sokongan terhadap PN semakin bertambah. 

Momentum ini akan kekal dalam beberapa PRK yang bakal berlangsung bulan depan. Jika momentum ini berterusan, kita juga akan melihat keputusan yang lebih menarik pada PRU16.

6. Polarisasi kaum.

Undi Melayu bersama PN, undi Cina bersama PH. Itulah gambaran kasar yang boleh dibuat. Tetapi secara lebih spesifik, undi Cina boleh dikatakan sampai siling bersama PH. Cuma PR6N ini menyaksikan kadar turun mengundi mereka agak terjejas.

Undi Melayu pula semakin bertambah terhadap PN. Sumbangan undi Melayu dari Umno kepada PH hanyalah untuk tidak membiarkan mereka hilang wang deposit seperti yang pernah berlaku di Kelantan, Kedah dan Terengganu pada PRU14 dan PRU15.

7. Protes.

PN mendapat laba dari protes penyokong PH dan BN. Orang PH yang tak suka Zahid dan orang BN yang anti DAP protes terhadap parti masing-masing dengan memberi undi pada PN. Ramai juga yang tidak keluar mengundi kerana tak puas hati prestasi Perdana Menteri ke-10 (PMX) dengan segala janji dan formula yang dicapati, 

Pasca PRN15

1. PH-BN memusuhi rakyat.

Respon utama dari pimpinan PH adalah melenting dengan keputusan PR6N. Baik Umno mahupun PH, mereka menganggap pengundi yang tidak mengundi mereka sebagai tidak matang, tidak kenang budi dan sebagainya. #koyak 

Golongan paling teruk dihentam adalah pengundi Melayu terutama di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Dimainkan sentimen perkauman, mengatakan orang Melayu begitu begini. Sehingga mahu menghukum rakyat negeri ini menggunakan kuasa pusat.

2. PH musuhi orang muda.

Kedengaran juga rintihan kesal PH yang sebelum ini mendesak undi 18 diperkenalkan. Kini bila undi 18 tak memihak pada mereka, gesaan supaya had undi dinaikkan semula kepada 21 mula berkumandang.

Ternyata perjuangan PH adalah retorik. Mereka bukan mahu menyuburkan demokrasi. Mereka hanya mahu memperguna demokrasi dalam batas yang menguntungkan mereka sahaja. Umpama ahli kitab yang memilih nas agama yang menguntungkan mereka sahaja. 

3. Mahu pulau negeri pembangkang.

Kenyataan-kenyataan PH-BN yang menggambarkan mahu hukum rakyat di 3 negeri kerana memilih pembangkang adalah sikap tidak demokratik, pendendam dan tidak federalistik. Mereka tak mengambil semangat Persekutuan Malaysia yang mengiktiraf hak berbeza antara Pusat dan Negeri.

Double standard antara negeri berlaku sejak Umno jadi kerajaan lepas merdeka. PKR DAP semua menentang sikap ini sewaktu jadi pembangkang bersama PAS. Tapi kali ini mereka dah jadi lain bila bersama Umno.

4. Koridor ekonomi Timur Utara.

Sampai masa negeri pembangkang tidak boleh bergantung harap pada Pusat lagi. Bukan mengajak kepada separatisme, tetapi lebih berdikari dalam membangunkan negeri.

Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah boleh memikirkan sebuah kerjasama serantau untuk bangkit bersama. Kelantan boleh manfaatkan air Terengganu. Sempadan Thailand sangat berpotensi untuk meraih limpahan ekonomi China yang sedang pesat. Laut China Selatan juga boleh menjadi alternatif kepada Selat Melaka yang sudah sangat sesak.

Wujudkan koridor ekonomi Timur Utara. Boleh ambil model ECER. Bangunkan pelan ekonomi untuk menyeimbangkan kemajuan antara Utara Selatan dan Barat Timur. Ia boleh menjadi softpower yang mendesak Kerajaan Pusat untuk beri kerjasama.

5. Petisyen?

PH-BN tidak boleh merasa terlalu selesa di Selangor, Negeri Sembilan dan Penang. Banyak salah laku sepanjang kempen yang boleh dibuat petisyen. Silap hari bulan, hampir semua kemenangan mereka boleh terbatal. Just wait and see.

6. Umno desak Zahid letak jawatan.

Prestasi teruk Umno membuatkan akar umbi mula bersuara. Bahkan pimpinan tertinggi Umno juga mula mengkritik secara terbuka Presiden mereka. Terbaru, mereka berdemo depan PWTC.

Kini kita boleh lihat kenapa PAS tak namakan Zahid sebagai Perdana Menteri sewaktu bersama mereka. Inilah penyakitnya. Zahid hanya tahu menjahanamkan Umno. Keberadaan Umno hanya memperkukuhkan cengkaman DAP.

7. DAP semakin berani.

Dengan menjadi juara di Selangor dan terbesar dalam PH-BN, DAP mula menunjukkan belang. Sudah mula bercakap non-Malay dan non-major ethnic sebagai Perdana Menteri dan Menteri Besar. Tiada orang PH-BN berani tegur abang besar.

DAP tak hormat kontrak sosial. Saya yakin bukan semua non-Malay setuju pendirian DAP yang agak ekstrem dan tak hormati Perlembagaan. 

Bukan semua non-Malay sukakan konfrontasi dan pergeseran antara kaum. Ramai yang dah selesa berbisnes dengan jaminan kontrak sosial sebelum ini. Sikap DAP akan membawa kepada kejatuhan sokongan non-Malay sedikit masa lagi.

8. Status Kerajaan Pusat.

Keputusan PR6N boleh dianggap referendum rakyat terhadap Kerajaan Pusat. Apabila majoriti rakyat Malaysia menyokong pembangkang, ini bermakna rakyat tidak suka dengan pemerintah sekarang.

Mengikut semangat demokrasi, kerajaan mestilah mendapat sokongan majoriti. Jika majoriti tidak bersetuju, Ahli Parlimen perlu prihatin. Mereka perlu berani bawa aspirasi rakyat di Dewan Rakyat. Undi kepercayaan terhadap PMX perlu dipertimbangkan.

Menukar kerajaan bukan satu-satunya melalui pilihan raya. Dalam ideologi demokrasi, pilihan raya hanyalah salah satu instrumen penentuan kerajaan. Ahli Parlimen ada hak untuk menyokong mana-mana pihak yang mereka mahukan.

Lagipun PH-BN tak layak bercakap soal demokrasi. Mereka menipu rakyat. Sebelum PRU15, BN kempen no Anwar no DAP. PH kempen no kleptokrat. Lepas menang, dua-dua rakyat dapat.

9. Gelombang Hijau.

Semakin ramai mengistilahkan kebangkitan ini sebagai Gelombang Hijau. Saya tak setuju dengan terma ini.

Gelombang Hijau (Green Wave) dalam politik Antarabangsa diasosiasi dengan Islamophobia dan kebangkitan ekstremis. Lim Kit Siang antara yang awal melabelkannya. Kini media Barat galak menggunakannya hingga menimbulkan kebimbangan masyarakat Antarabangsa.

Saya lebih suka jika digunakan istilah Arus Hijau (Green Stream). Arus secara literalnya bermaksud aliran yang menuju ke satu arah. Boleh jadi aliran fizikal seperti air, angin, elektrik, lalu lintas mahupun sosial seperti media, zaman, kebangkitan dan sebagainya.

Arus sifatnya dalaman, tidak terlihat di mata kasar. Tetapi daripada aruslah terbentuknya gelombang, ombak dan badai. Arus itu tenang dan tidak membimbangkan, tetapi dia siapa mampu menyekat.

Sekian pandangan peribadi. Silakan mengkritik…

ALANG IBN SHUKRIMUN
2 Safar 1445
19 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 19/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -